POLITIK > BERITA

MOHD AZIZI BERI LALUAN KEPADA PH-BN PADA PRK NENGGIRI

30/06/2024 09:50 PM

GUA MUSANG, 30 Jun (Bernama) -- Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim tidak akan bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang akan diadakan Ogos ini.

Mohd Azizi berkata sebaliknya beliau akan memberi laluan kepada rakan-rakan seperjuangan dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kerusi yang disandangnya.

“Ini bukan soal kerusi yang dipertandingkan tetapi kita menghormati semangat setiakawan dalam kalangan komponen parti,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Selain itu, Mohd Azizi berkata beliau telah menghantar surat kepada Bersatu semalam menggesa parti berkenaan memberi butiran jelas mengenai pemecatan keahliannya.

Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan Kerusi DUN Nenggiri kosong bermula dari tarikh berkenaan setelah menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan mengenai keahlian Mohd Azizi pada 13 Jun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala hari pengundian pada 17 Ogos.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan