POLITIK > BERITA

AHMAD ZAHID SUDAH TERIMA SENARAI CALON PRK DUN NENGGIRI

04/07/2024 11:52 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan sudah menerima senarai pendek nama calon yang akan diketengahkan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata rundingan juga telah diadakan bersama Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, dan mengikut prosedur nama yang dicalonkan itu perlu dibawa ke mesyuarat bahagian terlebih dahulu.

“Walaupun senarai pendek itu telah sampai kepada saya, tradisi UMNO Gua Musang akan membawa nama-nama itu dalam mesyuarat bahagian, dan akan diadakan pengundian dalaman dalam kalangan jawatankuasa bahagian.

“… (ia bagi) memilih calon mempunyai elemen WALI yang merujuk kepada boleh menang (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable),” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Hari Anugerah Pendidik Majlis Amanah Rakyat (MARA) di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos ini manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.

Sebelum ini Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan kerusi DUN berkenaan kosong berkuat kuasa pada 19 Jun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan