POLITIK > BERITA

PEMECATAN ENAM AHLI PARLIMEN BERSATU TIDAK DITAKRIF SEBAGAI LOMPAT PARTI - FAHMI

12/07/2024 06:38 PM

PUTRAJAYA, 12 Julai (Bernama) -- Pemecatan enam Ahli Parlimen yang merupakan bekas ahli Bersatu tidak ditakrifkan sebagai lompat parti sehingga mereka perlu mengosongkan kerusi masing-masing ketika ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau merujuk kepada tindakan enam bekas ahli Bersatu yang telah mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita semua sedia maklum perkara 49A (2) menyatakan dengan jelas bahawa pemecatan tidak bererti kekosongan kerusi, ia tidak bererti lompat parti. Jadi kalau kita teliti apa yang telah berlaku ia adalah ditafsirkan sebagai pemecatan terancang,” katanya pada sidang media pascamesyuarat Jemaah Menteri di sini.

Enam Ahli Parlimen yang terkait dengan isu itu ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Mengulas keputusan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul bahawa keenam-enam Ahli Parlimen kekal sebagai wakil rakyat, Fahmi berkata tindakan diambil itu berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan tafsiran undang-undang.

“Ini adalah perkara asas dalam peraturan urusan mesyuarat (Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat),” katanya sambil menambah sebarang kritikan terhadap keputusan Johari adalah tidak berasas.

Beliau turut mengingatkan pembangkang supaya tidak menjadi ‘hero’ dalam isu itu kerana sebelum ini Bersatu membantah pindaan Rang Undang-Undang Akta Lompat Parti 2022 apabila dicadang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) ketika itu, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Dalam banyak-banyak parti, Bersatu paling tidak mahu menyaksikan sejumlah pindaan yang telah dicadangkan oleh Menteri Undang-Undang waktu itu. Kalau nak salahkan seseorang, salahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

“Merekalah antara yang paling tidak bersetuju dengan pindaan, yang sekiranya dilakukan akan menghalang daripada kejadian yang kita saksikan sekarang. (Sekarang) terpekik terlolong dalam Dewan Rakyat, merekalah yang tidak bersetuju. (Kini) Senjata makan tuan,” katanya.

Rabu lepas, Muhyiddin mengesahkan Bersatu telah menerima surat daripada Johari yang memaklumkan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi Parlimen melibatkan enam bekas ahlinya yang memberi sokongan kepada Anwar.

Pada 20 Jun lepas, Ketua Whip Bersatu yang juga Naib Presidennya Datuk Dr Ronald Kiandee telah mengemukakan notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat mengenai kekosongan kerusi enam Ahli Dewan itu kerana keahlian mereka dalam parti telah terhenti. 

Keenam-enam Ahli Parlimen diberikan notis gugur keahlian pada 12 Jun lepas apabila mereka gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan