POLITIK > BERITA

Dakwaan Kepimpinan PKR Gugur Kabinet, Taktik Lapuk Pembangkang - Rafizi

17/08/2024 03:07 PM

JOHOR BAHRU, 17 Ogos (Bernama) -- Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menyifatkan khabar angin mengenai kepimpinan tertinggi PKR bakal digugurkan daripada Kabinet, sebagai taktik lapuk pembangkang.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR berkata pihak pembangkang mula memainkan isu picisan, memandangkan pihak berkenaan tidak boleh membincangkan perkara berkaitan kepentingan negara seperti ekonomi dan pentadbiran.

“Itu penipuan… saya rasa ini taktik lapuklah bila polemik politik itu, lawan kami tidak boleh berhadapan dengan soal-soal yang penting untuk negara, soal ekonomi, soal pentadbiran jadi dia mula ambil isu-isu picisan…benda itu memang angin pun tak ada, ribut pun tak ada.

“Saya boleh sebut sepanjang 25 tahun saya dalam PKR ini adalah masa yang paling stabil dan paling aman sekali, sebab itu tiada yang datang dari PKR mengenai apa-apa masalah, cuma sekali sekala akan ada musuh politik itu sebab dia (pembangkang) tak ada isu, dia tak boleh nak serang dia timbulkan (isu),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program MADANI Rakyat Zon Selatan 2024 di sini hari ini, ketika diminta mengulas dakwaa terdapat kemungkinan kepimpinan tertinggi PKR akan digugurkan daripada Kabinet.

Sementara itu, dalam sesi ‘Ask Minister Anything bersama Menteri Ekonomi’ sempena Program MADANI Rakyat Zon Selatan 2024, Rafizi berkata Kementerian Ekonomi akan mempertimbang cadangan pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) secara khusus bagi penglibatan Orang Kurang Upaya (OKU). 

Rafizi berkata kesesuaian pelaksanaannya akan dibincangkan di peringkat kementerian selepas mendapat maklum balas daripada orang awam.

Inisiatif di bawah Kementerian Ekonomi, IPR menumpukan usaha membasmi kemiskinan dan menambah pendapatan rakyat menerusi inisiatif pertanian, perniagaan makanan dan operator perkhidmatan. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan