POLITIK > BERITA

PN Pahang Sokong Muhyiddin Disiasat

20/08/2024 09:09 PM

KUANTAN, 20 Ogos (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) negeri ini menyokong penuh titah Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah supaya satu siasatan yang adil dilakukan ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung ucapannya semasa berkempen di Nenggiri baru-baru ini. 

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kesemua mereka juga meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada pihak polis bagi menjalankan tugas dan meminta supaya semua pihak tidak membangkitkan polemik serta akur terhadap titah Tengku Mahkota Pahang. 

“Kami Ahli Dewan Negeri Pahang dari Perikatan Nasional menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang dalam menjalankan tugas baginda sebagai payung tempat kami semua bernaung,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Semalam Tengku Hassanal bertitah mahukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap  Muhyiddin yang secara sengaja menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Nenggiri baru-baru ini.

Tengku Hassanal juga turut menzahirkan kemurkaan dan rasa terkilan dengan tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan