POLITIK > BERITA

UMNO Guna Lambang Dacing Pada PRU16 - Ahmad Zahid

21/08/2024 06:51 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- UMNO akan tetap menggunakan lambang dacing Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, namun tidak menolak untuk berkolaborasi dengan 18 parti lain dalam Kerajaan Perpaduan, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata ia merupakan antara lima tahap hala tuju baharu yang digariskan parti itu menerusi Taklimat Presiden yang disampaikan bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 hari ini. 

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata penggunaan lambang dacing itu merupakan permintaan pimpinan dan ahli parti sendiri, mengambil kira PRU Ke-16 yang akan berlangsung dalam tempoh tidak lebih tiga tahun lagi.

“Kita tidak menolak kolaborasi dengan 18 parti dalam Kerajaan Perpaduan supaya tak berlaku pertindihan dan terdapat kerjasama di dalam menggamit dukungan pengundi.

‘Ini (kolaborasi) mesti dilakukan daripada sekarang, kerana kita tidak mahu keserasian itu diwujudkan hanya ketika pilihan raya. Sebaliknya ia mesti dibina dari sekarang,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Taklimat Presiden hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. 

Selain itu, Ahmad Zahid berkata beliau turut meminta setiap kepimpinan UMNO di semua peringkat supaya mengambil ibrah daripada kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, yang menyaksikan BN berjaya merampas semula kerusi tersebut.

“Ertinya jika ada telahan UMNO sudah tidak lagi relevan ataupun ditolak oleh orang-orang Melayu, jelas kemenangan ini telah memberikan satu nada baharu dalam perjuangan kepimpinan UMNO di semua peringkat,” katanya.

Susulan itu, Beliau berkata tahap kedua yang digariskan pada sesi taklimat tersebut adalah supaya setiap jentera parti UMNO menggunakan pendekatan yang berbeza mengikut landskap politik setempat pada setiap pilihan raya yang akan dihadapi parti itu.

Ahmad Zahid berkata pada sesi taklimat itu beliau turut berkongsi mengenai prestasi tujuh menteri dan enam timbalan menteri daripada parti itu, yang telah melaksanakan amanah dengan baik demi rakyat dan juga parti.

“Selain itu kita rasakan bahawa pengisian kepada agenda ummah dan sebagai sebuah parti rumpun Melayu, kita terjemahkan agenda kita tanpa mengenepi lain-lain kumpulan etnik, kaum, budaya dan bahasa. Sebaliknya dalam kita memperjuangkan agenda kita, usaha untuk santuni lain-lain kaum mesti berjalan,” katanya.

Perhimpunan Agung UMNO berlangsung bermula hari ini hingga 24 Ogos di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur melibatkan seramai 6,433 perwakilan dari seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan