BERITA TERGEMPAR   Tanah jerlus: JKM akan beri bantuan kaunseling kepada keluarga mangsa - Dr Zaliha | 
 POLITIK > BERITA

Kebangkitan Wanita Dalam UMNO Bukan Hanya Penuhi Kuota, Tuntutan Luar

24/08/2024 03:24 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Kebangkitan semula wanita dalam UMNO bukan sahaja akan memperkukuh parti itu tetapi juga memperkasakan politik Malaysia secara keseluruhan sekali gus membawa perspektif baharu kepada isu-isu penting antaranya pendidikan.

Exco Wanita UMNO Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata kebangkitan semula itu bukan hanya berkisar mengenai memenuhi kuota atau tuntutan luaran. 

Beliau berkata ia bukan sekadar perubahan kosmetik tetapi merupakan kebangkitan semula jiwa, pembaharuan minda dan pencerahan visi atau hala tuju wanita UMNO.

“Kita perlu melakukan lebih daripada sekadar menggalakkan penyertaan wanita. Kita perlu secara aktif memberikan peluang kepimpinan kepada wanita berbakat di semua peringkat parti.

“Kita perlu melabur dalam program pembangunan kepimpinan yang khusus untuk wanita dan yang paling penting, kita perlu mengubah budaya parti kita untuk menjadi lebih inklusif dan menghargai sumbangan wanita,” katanya semasa sesi perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 di sini hari ini. 

Menerusi kebangkitan itu, Nurul Hidayah berkata Wanita UMNO perlu mengoptimumkan bakat terbaik dalam parti untuk menghadapi cabaran masa depan serta memastikan suara wanita yang mewakili hampir separuh daripada pengundi UMNO didengari dan dihormati.

Sementara itu, Exco Puteri UMNO Siti Nor Hasyyati Abd Rahman yang mewakili Puteri UMNO pada sesi perbahasan mencadangkan supaya had umur bagi keahlian sayap itu dinaikkan daripada 35 tahun kepada 40 tahun.

Beliau berkata ini bagi memastikan kelancaran serta kelangsungan dasar yang dibawa oleh sayap itu. 

“Bayangkan, sebahagian, yang terlalu besar dalam kalangan kami, 80 peratus, akan meninggalkan Puteri walau hanya sempat memimpin selama sepenggal.

“Sedar atau tidak, 153 Ketua Puteri Bahagian akan melewati tahap usia yang dibenarkan iaitu 35 tahun,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar pada pemilihan akan datang diadakan satu sistem kuota dalam memilih barisan kepimpinan Puteri di semua peringkat yang membolehkan pemegang jawatan sedia ada yang berusia lebih 35 tahun menawarkan diri bertanding sekali lagi, selagi tidak mencecah umur 40 tahun dan calon yang pertama kali menawarkan khidmat mestilah berumur di bawah 35 tahun.

Perhimpunan Agung UMNO 2024 berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur bermula Rabu lepas hingga hari ini melibatkan 6,433 perwakilan dari seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan