BERITA TERGEMPAR   Tanah jerlus: JKM akan beri bantuan kaunseling kepada keluarga mangsa - Dr Zaliha | 
 POLITIK > BERITA

DUN Mahkota: Tok Mat Ingatkan Jentera Parti Tidak Jadi 'Pelancong Politik'

24/08/2024 07:56 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan jentera parti agar tidak hanya sekadar menjadi ‘pelancong politik’ di Kluang, Johor, pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota bulan depan.

Beliau berkatasebaliknya jentera parti perlu bekerja kuat bagi mengekalkan kemenangan di DUN berkenaan dengan memastikan gerak kerja kempen menyeluruh bagi sesiapa sahaja calon yang dipilih kelak. 

“Kita akan bertemu semula di Mahkota, betul kita menang 5,000 lebih undi pada pilihan raya negeri yang lalu tapi pada pilihan raya umum parlimen prestasi di situ tidak membanggakan, jadi kita kena berhati-hati, jangan ingat menang di (PRK DUN) Nenggiri kita boleh senang-senang menang di Mahkota.

“Padangnya lain belalangnya lain, cara bermain pun lain, jadi turunlah ramai-ramai bantu kempen, tapi bila turun ramai-ramai pekan Kluang ini kecil saja, jangan sampai kita turun ramai-ramai menyesakkan orang di Kluang turun bekerja... jangan jadi ‘pelancong politik’,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 Sept manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 Sept.

Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

Mohamad berkata dalam soal pemilihan calon bagi kerusi berkenaan, semua parti dalam Kerajaan Perpaduan hendaklah mengadakan perundingan secara berhemah dan mengelakkan sebarang perselisihan. 

“Insya-Allah berunding elok-elok cari calon baik. Kita boleh menang tapi jangan terlampau yakin, bekerja mesti kuat, dan kita mesti pastikan bahawa segala yang kita lakukan adalah demi kebaikan agama, bangsa dan negara, ” katanya. 

Dalam pada itu beliau berharap agar Perhimpunan Agung UMNO 2024 menjadi medan untuk para perwakilan mencungkil ilmu serta mendapatkan “bekal baharu” dalam meraih semangat bagi menjulang kembali kegemilangan UMNO.

“Kita kena pastikan supaya kalau UMNO serius nak bangun, inilah masanya kita bangun. Orang Melayu memang dia nak balik pada kita, tapi terpulanglah kepada kita untuk menggamit mereka semula, dan kita mesti hantar mesej baik-baik yang menggembirakan hati orang,” katanya. 

Perhimpunan Agung UMNO 2024 yang bermula sejak Rabu melabuhkan tirainya hari ini setelah empat hari persidangan berlangsung dengan dihadiri 6,443 perwakilan seluruh negara. 

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan