MELAKA, 9 Nov (Bernama) -- DAP Melaka menerusi Biro Guaman Pemuda negeri menawarkan khidmat nasihat guaman percuma kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang politik atau kaum di dalam dan luar negeri itu bermula 14 Nov ini.
Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong berkata inisiatif berkenaan bertujuan membantu golongan memerlukan khususnya kumpulan B40 yang berdepan kekangan kewangan untuk mendapatkan khidmat guaman sekali gus memberi panduan kepada mereka yang berdepan masalah atau isu melibatkan undang-undang.
Beliau berkata khidmat nasihat guaman itu melibatkan pelbagai aspek atau isu meliputi hak asasi manusia termasuk ibu tunggal, wanita diceraikan serta tidak mendapat nafkah.
"Saya mendapat maklumat ramai dalam kalangan B40 sering kali tidak berpeluang mendapat khidmat guaman bagi isu yang mereka hadapi kerana kekangan kewangan sekali gus hak mereka dinafikan atau tidak mendapat tuntutan yang sepatutnya.
"Setakat ini, kita mempunyai tujuh peguam dalam kalangan Pemuda DAP negeri yang akan mengendalikan sesi khidmat nasihat berkenaan dan sekiranya perlu mungkin mereka akan dibawa ke peringkat seterusnya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pemuda DAP Melaka Cassel Krishnan dan Ketua Biro Guaman Pemuda DAP negeri Cassian Anthony.
Khoo berkata sekiranya kes melibatkan undang-undang syariah, ia akan dirujuk kepada peguam syarie dan khidmat berkenaan juga adalah percuma.
Beliau berkata sesi khidmat nasihat guaman berkenaan ditawarkan setiap Khamis bermula 8 hingga 10 malam di Ibu Pejabat DAP Melaka di Lorong Pandan pada setiap minggu pertama dan ketiga manakala di Pusat Khidmat Rakyat Kota Melaka di Kota Laksama pada setiap minggu kedua dan keempat.
Mereka yang memerlukan khidmat berkenaan, katanya tidak perlu membuat sebarang janji temu sebaliknya boleh terus hadir ke lokasi terlibat mengikut masa ditetapkan.
Sementara itu, Cassel berkata satu daripada kes yang sedang dibantu Biro Guaman Pemuda DAP negeri ialah kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun akibat ditimpa rekahan simen rumah kedai di hadapan sebuah restoran makanan segera di Kompleks Perniagaan Al-Azim di Bukit Baru di sini pada 22 Okt lepas.
Beliau berkata keluarga mangsa terutama adiknya yang berusia lima tahun yang berada di lokasi kejadian turut diberi bantuan psikologi bagi mengurangkan trauma dialami.
"Kita akan membantu memperjuangkan nasib keluarga menerusi undang-undang dan berharap dapat membela kematian mangsa sekali gus mengurangkan kesedihan keluarga," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial