POLITIK > BERITA

TIADA KEPUTUSAN DIBUAT UNTUK SERTAI PKR - TENGKU ZAFRUL

15/12/2024 11:47 PM

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan bahawa beliau belum membuat sebarang keputusan berhubung khabar angin penyertaannya ke PKR.

Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata beliau berpegang kepada prinsip apabila membuat sesuatu keputusan akan melakukan dengan  penuh adab dan memaklumkan secara rasmi kepada pucuk pimpinan partinya.

“Sebenarnya, saya tiada membuat keputusan mengenai keahlian mana-mana parti, walaupun seperti yang telah disebut oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), pernah ada perbincangan tentang perkara ini dengan pihak yang berkaitan.

“Justeru saya amat terkejut dengan perkembangan kenyataan kepimpinan tentang perkara ini. Tambahan pula sejak isu ini mula diketengahkan saya tidak menerima sebarang panggilan daripada pucuk pimpinan UMNO untuk bertanyakan isu sebenar,” katanya dalam hantaran menerusi platform X malam ini.

Beliau berkata dalam melaksanakan tanggungjawab dan komitmen sebagai anggota pentadbiran kerajaan, wadah perjuangan politiknya tertumpu kepada keperluan melaksanakan tugasan dengan baik bagi manfaat rakyat.

Mengenai perbincangan awal bersama PKR, beliau berkata tiada perbincangan berhubung tawaran jawatan di peringkat negeri mahu pun pilihan raya kecil berbangkit sebaliknya tertumpu kepada memilih wadah perjuangan politik yang sesuai bagi pembangunan rakyat dan negara.

"Saya juga percaya bahawa hak individu untuk memilih landasan perjuangan merupakan hak asasi dan mutlak kerana tanpa keserasian mustahil untuk seseorang individu itu untuk memberi perkhidmatan yang terbaik.

"Hakikatnya, saya meninggalkan dunia korporat untuk menjadi anggota pentadbiran kerajaan kerana saya yakin ia landasan kerjaya yang mampu menyediakan ruang dan peluang untuk saya berkhidmat kepada rakyat dan juga menyumbang kepada agenda pembangunan negara secara langsung," katanya.

Tengku Zafrul berkata sebagai anggota dalam kerajaan,  beliau akan terus melaksanakan dasar-dasar yang terbaik untuk rakyat malah, Kerajaan Perpaduan yang telah dibina selama ini mempunyai semangat kerjasama yang utuh dan toleransi yang tinggi.

"Kerajaan Perpaduan mampu menerima perbezaan pandangan dan pendapat dalam kalangan parti komponen, tanpa mengganggu gugat objektif utama iaitu mengemudi negara ke arah kesejahteraan yang terbaik buat rakyat," katanya.

Tengku Zafrul sebelum ini memaklumkan akan menjelaskan berhubung khabar angin  penyertaannya ke PKR dan spekulasi dakwaan untuk menggantikan Naib Presiden parti berkenaan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

Hari ini, Anwar yang juga Presiden PKR mengesahkan terdapat perbincangan awal berhubung penyertaan Tengku Zafrul ke dalam parti itu yang terbuka untuk menerima mana-mana individu yang boleh menyumbang kepada parti.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan