POLITIK > BERITA

Tiada Rancangan Rombakan Kabinet Sarawak - Abang Johari

16/02/2025 09:14 PM

KUCHING, 16 Feb (Bernama) -- Tiada rombakan Kabinet negeri akan dilakukan susulan keputusan pemilihan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari, yang juga Presiden PBB, menjelaskan pemilihan parti tiada kaitan dengan pelantikan jawatan dalam Kabinet negeri.

“Tiada rombakan, pemilihan parti tiada kena-mengena dengan (rombakan) Kabinet. Kami akan meneruskan seperti biasa,” katanya kepada pemberita di luar Perhimpunan Agung PBB ke-16 di sini hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata beliau akan menyerahkan keputusan mengenai jawatannya dalam Kabinet kepada Abang Johari susulan kekalahan mempertahankan jawatan Naib Presiden bagi sayap Bumiputera PBB pada pemilihan parti itu semalam.

Abdul Karim, yang memegang dua portfolio menteri dalam Kabinet negeri iaitu Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, berkata sebarang keputusan mengenai pelantikan anggota Kabinet adalah hak prerogatif Premier.

Abdul Karim tewas dalam pertembungan enam penjuru untuk merebut empat kerusi jawatan Naib Presiden.

Beliau memperoleh 669 undi dan menduduki tempat kelima daripada enam calon.

Hanya empat calon dengan undian tertinggi akan dilantik sebagai Naib Presiden.

Lebih 4,000 perwakilan menghadiri perhimpunan agung selama tiga hari yang bermula pada Jumaat lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan