POLITIK > BERITA

Tiada Perbincangan Persiapan Pilihan Raya Negeri Pada Perhimpunan Agung PBB - Uggah

16/02/2025 11:36 PM

KUCHING, 16 Feb (Bernama) -- Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ke-16 yang berakhir hari ini tidak membincangkan sebarang persiapan menghadapi pilihan raya negeri Sarawak akan datang, yang dijadualkan tahun depan.

Timbalan Presiden PBB yang juga Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sebaliknya perhimpunan itu memutuskan cadangan untuk penubuhan satu majlis yang dikenali ‘Majlis Yang Dipertua (YDP)’ sebagai mekanisme untuk mempercepatkan proses membuat keputusan mengenai hala tuju parti.

“Tiada siapa yang bercakap mengenai pilihan raya (negeri akan datang) (pada perhimpunan). Kami hanya bekerja untuk rakyat lah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi penggulungan perhimpunan, yang turut dihadiri Presiden PBB yang juga Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini.

Beliau berkata majlis yang dicadangkan itu terdiri daripada Yang Dipertua (Presiden), dua timbalannya, dua Naib Presiden Kanan dan Setiausaha Agung parti, dan peranan mereka adalah untuk membincangkan segera mengenai sebarang perkara berkaitan dengan hala tuju serta dasar parti.

Abang Johari ialah presiden parti sekarang dengan Uggah dan seorang lagi Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sebagai Timbalan Presiden, manakala Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah negeri Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom sebagai Naib Presiden Kanan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula ialah Setiausaha Agung parti.

“Ia adalah sebuah jawatankuasa kecil, apabila ada isu yang perlu dibincang dengan segera, ia lebih mudah kerana apabila kita perlu memanggil MKT (Majlis Kerja Tertinggi), ia mungkin mengambil sedikit masa,” kata Uggah.

Beliau berkata pembentukan majlis itu, setelah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan untuk dimasukkan dalam perlembagaan parti, akan menjadi satu lagi lapisan badan pembuat keputusan dalam PBB, selepas perhimpunan agung dan majlis tertingginya.

“MKT masih lagi bahagian penting dalam parti. Majlis YDP adalah untuk mempercepatkan kemampuan kita untuk membuat keputusan ketika berdepan isu-isu tertentu yang perlu diselesaikan secepat mungkin. Ini satu perubahan besar dalam PBB kerana kita ada satu lagi lapisan, selain perhimpunan agung dan MKT,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan