POLITIK > BERITA

PRK Lamag: Gabungan Kempen Bersemuka, Digital Strategi Mohd Ismail Dekati Pengundi

16/01/2026 09:10 PM

KINABATANGAN, 16 Jan (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag Mohd Ismail Ayob menggabungkan pendekatan kempen tradisional dan digital sebagai strategi untuk meraih sokongan pengundi.

Beliau berkata pendekatan berkenaan bertujuan memastikan mesej, manifesto serta hala tuju pembangunan kawasan yang ditawarkannya dapat disampaikan secara menyeluruh kepada semua lapisan pengundi.

Mohd Ismail yang lebih dikenali sebagai Miha berkata pendekatan turun padang serta interaksi secara bersemuka dengan penduduk setempat membolehkannya menyampaikan penerangan secara langsung mengenai misi dibawanya, di samping membuka ruang untuk mendengar permasalahan setempat.

Dalam masa sama, beliau berkata media sosial turut perlu dimanfaatkan sebagai saluran strategik sepanjang tempoh kempen yang kini berbaki tujuh hari bagi menjangkau pengundi muda serta pengundi DUN Lamag yang menetap di luar kawasan.

“Media sosial amat penting dalam kempen pilihan raya kerana kita maklum untuk jumpa seluruh masyarakat memang agak mustahil. Media sosial juga sudah mudah diakses serta dimiliki oleh semua lapisan masyarakat.

“Justeru, kempen di media sosial dapat membantu menyampaikan misi, visi, hala tuju dan manifesto kita secara meluas,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra di Bukit Garam Point di sini hari ini.

Mohd Ismail berkata beliau bersyukur apabila kempen yang dijalankan di hampir 80 peratus kawasan DUN Lamag sepanjang seminggu tempoh berkempen menerima maklum balas positif dan beliau optimis dapat menjelajah ke seluruh kawasan berkenaan menjelang hari pengundian 24 Jan ini.

Sementara itu, menyentuh mengenai manifesto, Mohd Ismail berkata ia dijangka dilancarkan esok dan akan merangkumi pelbagai fokus utama, antaranya sektor pelancongan, pendidikan, isu-isu setempat serta keperluan asas masyarakat.

PRK DUN Lamag yang menyaksikan Mohd Ismail dicabar Mazliwati Abdul Malek daripada Warisan dan saingan tiga penjuru di Parlimen Kinabatangan antara Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 24 Jan manakala 20 Jan ini sebagai undi awal.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan