KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) menyasarkan untuk mengekalkan kemenangan di Johor dan Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang menerusi strategi mengelakkan pertembungan tiga penjuru bersama rakan sekutu dalam Kerajaan Perpaduan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata keyakinan itu bersandarkan inisiatif kerajaan negeri dan pusat serta pengukuhan dalaman parti.
"Jika Johor boleh menang 40 daripada 56 kerusi ketika itu (PRN Johor 2022), tidak ada sebab dengan segala inisiatif daripada kerajaan negeri, kerajaan Pusat dan Kerajaan MADANI, digabung sekali dengan pengukuhan dalam UMNO di bawah Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"… saya yakin kita boleh menang 21 daripada 28 kerusi di Melaka dan 40 daripada 56 di Johor," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis makan malam sempena Program Pemerkasaan Belia MADANI melalui Teknologi AI dan Revolusi Industri 4.0 anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di sini malam ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya itu berkata jentera BN juga perlu terus berusaha tanpa henti sehingga hari pengundian kelak.
Ahmad berkata beliau menyokong hasrat Ahmad Zahid yang terbuka menerima penyatuan semula demi kepentingan orang Melayu berteraskan konsep 'Rumah Bangsa'.
Beliau menyifatkan langkah presiden parti itu pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini sebagai berjiwa besar, dengan Ahmad Zahid mengungkapkan tiga frasa politik yang sebelum itu tidak pernah didengari dalam kalangan ahli politik.
"Pertama beliau menyebut tentang Rumah Bangsa, keduanya tentang Musyawarah Nasional dan ketiga tentang Kolaborasi Agung. Semua itu membawa kepada penyatuan parti Melayu, penyatuan umat Melayu dan penyatuan pemimpin Melayu.
"Jika Presiden ada menyebut bahawa beliau sedia menerima mereka ‘dari sana’, maka saya menyokonglah apa hasrat beliau itu," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad mengingatkan ahli UMNO supaya tidak terlalu selesa dengan pergolakan yang berlaku dalam parti lawan, sebaliknya perlu fokus memperkukuh parti sendiri.
Kemenangan yang diraih UMNO, katanya seharusnya datang daripada kekuatan parti itu sendiri dan bukan disebabkan kelemahan pihak lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial