Oleh Fadzli Ramli
KOTA KINABALU, 31 Mei (Bernama) -- Biarpun berdepan cabaran dalam memenuhi tuntutan 40 peratus hasil negeri, rakyat Sabah wajar memahami dan menerima fakta bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri yang berani meluluskan bayaran interim tertinggi dalam sejarah tuntutan tersebut.
Timbalan Presiden Majlis Belia Sabah Mohd Nur Hilmie Milus berkata komitmen kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Anwar sangat jelas dan konsisten apabila bayaran tersebut dinaikkan berperingkat daripada RM300 juta kepada RM600 juta, sebelum lonjakan terbaharu kepada RM1.5 bilion.
Beliau berkata setiap Perdana Menteri mempunyai sumbangan dan pendekatan masing-masing, namun Anwar memperlihatkan kesungguhan politik ketara dalam menterjemahkan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu, daripada perbincangan kepada dasar serta keputusan kewangan yang besar.
"Ini bukan soal mempolitikkan angka semata-mata, tetapi ini soal keberanian politik untuk mengiktiraf bahawa Sabah berhak mendapat layanan yang lebih adil dalam kerangka persekutuan Malaysia," katanya kepada Bernama.
Semalam, Anwar ketika berucap merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 berkata geran khas interim bagi Sabah dinaikkan kepada RM1.5 bilion berbanding RM600 juta sementara menunggu kaedah pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil negeri itu dimuktamadkan seperti dalam MA63.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud dilaporkan berkata sebelum perubahan kerajaan Persekutuan pada 2022, Sabah menerima sekitar RM26.7 juta setahun selama berdekad, sebelum RM125.6 juta pada 2022; RM300 juta (2023 dan 2024); serta RM600 juta (2025 dan 2026) sebelum dinaikkan kepada RM1.5 bilion untuk tahun ini.
Mohd Nur Hilmie berkata kejayaan bersejarah itu juga tidak boleh dipisahkan daripada peranan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang memilih jalan rundingan matang, mengekalkan hubungan strategik bersama kerajaan Persekutuan, namun pada masa sama kekal tegas dalam memperjuangkan hak Sabah.
Beliau berkata pendekatan diplomasi berkenaan membuktikan bahawa usaha menuntut hak dan MA63 tidak semestinya memerlukan negeri ini sentiasa bersikap konfrontasi atau bermusuh dengan Putrajaya, sebaliknya hubungan Sabah-Persekutuan yang stabil berjaya membuahkan hasil lebih nyata untuk rakyat.
Dalam pada itu, Mohd Nur Hilmie mengakui bahawa rakyat menyedari masih banyak tuntutan asas dan isu warisan belum selesai, khususnya membabitkan keperluan infrastruktur kritikal seperti bekalan air, elektrik, jalan raya, fasiliti pendidikan serta kesihatan.
Namun, beliau menyeru rakyat agar berlaku jujur dalam menilai kesungguhan barisan pemimpin baik di peringkat Persekutuan mahupun negeri hari ini dalam menyelesaikan isu yang telah berlarutan sekian lama.
"Jangan hanya melihat siapa paling lantang bercakap tentang Sabah. Lihat juga siapa yang benar-benar berani membawa isu Sabah ke meja keputusan negara. Akhirnya, perjuangan MA63 bukan tentang slogan politik, ia tentang maruah, keadilan dan masa depan Sabah," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial