BERITA TERGEMPAR   Peningkatan luar biasa TVET di Malaysia didorong dasar kerajaan dan komitmen TPM Ahmad Zahid - PM Anwar | 
 POLITIK > BERITA

PRN: Persidangan Kebangsaan DAP Ditunda Ke Ogos - Loke

05/06/2026 08:46 AM

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Persidangan Kebangsaan DAP 2026 yang dijadualkan diadakan pada 12 Julai ini akan ditunda ke 16 Ogos, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Beliau berkata perkara itu diputuskan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang bermesyuarat malam tadi setelah mengambil kira pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan, sekali gus membuka laluan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

“DAP juga akan mempertahankan semua kerusi penyandang di Johor dan Negeri Sembilan serta bertanding di beberapa kerusi tambahan di Johor, tertakluk kepada keputusan rundingan secara muktamad dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH) menjelang hujung minggu ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Loke, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata selain itu, proses pemilihan calon untuk mewakili DAP dalam kedua-dua PRN berkenaan akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pemilihan Calon.

Jawatankuasa tersebut dianggotai Loke, Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo, Timbalan Pengerusi Kebangsaan Nga Kor Ming, Ketua Wanita Teo Nie Ching dan Ketua Parlimen DAP Chong Chieng Jen.

Dalam pada itu, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah berkata DAP akan berkempen bersungguh-sungguh dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan bagi memastikan kemenangan PH di kedua-dua negeri tersebut. 

Pada Isnin lepas, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi, berkuat kuasa pada 1 Jun setelah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun pula mengumumkan DUN Negeri Sembilan, yang mempunyai 36 kerusi, secara rasmi dibubarkan hari ini setelah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan