POLITIK > BERITA

UMNO Negeri Sembilan Cadang BN Tanding Semua 36 DUN Pada PRN

06/06/2026 04:35 PM

SEREMBAN, 6 Jun (Bernama) -- UMNO Negeri Sembilan mencadangkan supaya Barisan Nasional (BN) turut bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata bagi kerusi tidak ditandingi pada PRN 2023, BN perlu mengetengahkan calon muka baharu yang berpengalaman yang dipilih selepas melalui penilaian dan pertimbangan sewajarnya termasuk calon wanita.

Beliau berkata selain UMNO, calon juga boleh dipilih daripada MCA dan MIC.

“Senarai calon kini hampir selesai sebelum diserahkan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada minggu depan untuk dimuktamadkan.

“Proses semakan akhir sedang dilakukan dengan mengekalkan hampir 95 ke 97 peratus calon lama di samping membuat penambahan muka baharu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun pada Khamis lepas mengumumkan gabungan itu akan bertanding di kesemua 36 kerusi DUN.

PRN ke-15 pada 2023 menyaksikan gabungan politik PH dan BN membentuk kerajaan di Negeri Sembilan apabila menguasai 31 kerusi DUN.

PH memenangi 17 kerusi diikuti BN (14) manakala Perikatan Nasional (lima).

Negeri Sembilan menjadi negeri kedua membubarkan DUN pada Jumaat (5 Jun) sekali gus memberi laluan kepada PRN, selepas Johor yang berbuat demikian pada Isnin (1 Jun).

 -- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan