KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sekadar medan persaingan politik, sebaliknya platform penting untuk menentukan hala tuju masa depan negeri itu serta kesejahteraan rakyat.
Pengarah Komunikasi PH Datuk Fahmi Fadzil berkata mesej itu jelas dizahirkan menerusi pelancaran jentera Pakatan Harapan (PH) bagi PRN Johor di Batu Pahat malam tadi yang disaksikan lebih 5,000 jentera parti dan penduduk tempatan.
Beliau berkata semasa majlis itu Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pilihan raya tersebut bukan kehendak beliau, sebaliknya tumpuan utama mestilah kekal terarah kepada usaha dan gerak kerja untuk rakyat.
"Dalam semangat yang sama, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke turut menekankan bahawa pelaksanaan PRN Johor dan Negeri Sembilan secara serentak adalah penting demi memastikan kesinambungan serta kestabilan politik tanah air," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu pula mengingatkan semua pihak mengenai kepentingan keselarasan antara pentadbiran kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
"Johor mempunyai potensi yang sangat besar. Pembangunan yang dirancang mesti benar-benar membawa manfaat kepada rakyat terbanyak," kata Fahmi.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan pada 1 Jun lepas bagi memberi laluan kepada PRN.
Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 12 Jun ini untuk membincangkan tarikh penting PRN Johor seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon serta hari pengundian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial