RENCANA

LALUI PENGALAMAN PETIK SAYUR DI PASAR RAYA

30/11/2021 07:22 AM

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Revolusi teknologi pertanian membolehkan sayur-sayuran kini ditanam tanpa tanah dalam persekitaran yang terkawal di dalam bangunan, sekali gus menjamin kualiti dan keselamatan makanan.

Vegetory, sebuah syarikat teknologi pertanian tempatan, memperluas konsep itu dengan mewujudkan "stesen tanaman” di dalam pasar raya di mana pelanggan memetik sendiri sayur-sayuran yang mereka mahukan.   

Hasil kerjasama dengan Bangsar Shopping Centre (BSC) Fine Foods di sini sejak 2020, Vegetory menawarkan pelbagai sayur-sayuran jenis salad yang ditanam dan membesar "di depan mata” pelanggan atau in situ.


Pasangan suami isteri Roy Liew (kiri) dan Celleste Kok. firstclasse.com.my

Vegetory yang diasaskan oleh pasangan suami isteri Roy Liew dan Celleste Kok pada 2017, membangunkan sistem Plant Factory Indoor Farming (PFIF) atau kilang tanaman di dalam bangunan, teknologi yang dibawa masuk dari Taiwan.

Bercakap kepada Bernama di sini baru-baru ini, Liew berkata matlamat mereka ialah mewujudkan pertanian lestari menggunakan teknologi terkini yang turut menawarkan hasil tanaman yang selamat dan berkualiti tinggi. 

“Kami menawarkan pertanian mesra alam  agar pengguna dapat menikmati makanan tanpa rasa bimbang tentang kualitinya, selain merasai ‘kesegaran sayur-sayuran yang baru dipetik' dari kebun,” katanya.

  

KEBUN MENEGAK DALAM PASAR RAYA


Terdapat lima jenis salad yang disemai, iaitu mizuna, romaine, crisphead, read oak dan dua jenis kale (hijau dan merah). --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA/ Soon Li Wei

Melangkah ke dalam ‘stesen tanaman’ Vegetory di BSC Fine Foods yang berkeluasan 200 kaki persegi itu bagaikan mengembara ke alam lain. Pandangan pasti terarah kepada deretan dulang yang dipenuhi pelbagai jenis salad, baik yang baru ditanam mahupun yang sudah matang dan sedia dipetik, menghijau di bawah LED. 

“Ada lima jenis salad yang ditanam, iaitu mizuna, romaine, crisphead dan read oak, selain dua jenis kale - hijau dan merah - serta rocket,” jelas Kok sambil memeriksa helaian dedaun salad berkenaan.

Beliau berkata pelanggan boleh memilih sama ada memetik sendiri salad yang diinginkan atau membeli yang sudah siap dibungkus.

"Semua hasil dipetik serta dibungkus secara harian dan boleh dimakan terus kerana ditanam secara hidroponik selain tidak melibatkan penggunaan sebarang racun makhluk perosak,” katanya, menambah sayur-sayuran tersebut mampu bertahan selama seminggu.

Menurutnya, strategi Vegetory itu turut menjimatkan kos kerana tiada penglibatan ‘orang tengah’ dengan setiap pek salad dijual terus kepada pelanggan pada harga antara RM7.20 dan RM9.90.     

Sementara itu, Liew berkata kaedah yang digunakan oleh Vegetory membolehkan mereka mengawal pelbagai faktor yang memberi kesan secara langsung terhadap pertumbuhan, rasa dan kadar nutrisi setiap sayur yang ditanam. 

"Sebab itulah sayur-sayuran yang dikeluarkan oleh kami lebih sedap dan bernutrisi tinggi. Malah sayur juga kekal segar ketika sampai di tangan pelanggan,” katanya.

 

BERKONGSI KEENAKAN SALAD


Pengasas Vegetory Celleste Kok teliti memeriksa setiap helaian dedaun salad.--fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menurutnya, rasa salad yang lebih sedap itu antara faktor beliau dan isteri membangunkan sistem PFIF di negara ini.

"Ketika lawatan kerja ke Taiwan, kami singgah di satu restoran yang bercantum dengan kilang tanaman. Mereka benarkan kami melawat kilang tanaman itu selain memberikan kami semangkuk besar sayur-sayuran yang baru dipetik.

“Kami sebenarnya tidak begitu gemar makan sayur, namun apabila kami makan salad yang diberikan kami terus terpikat dengan rasanya, sedar-sedar mangkuk salad kami telah kosong,”cerita Liew.

Kok pula berkata mereka kemudian dimaklumkan restoran itu dioperasikan oleh sebuah syarikat pertanian, dan dari situ sejarah Vegetory bermula.

“Apabila kami beritahu mereka tentang hasrat kami untuk meneroka bisnes itu, mereka bersedia memberikan khidmat nasihat dan sokongan,” kata Kok, menambah beliau dan suami kemudian memulakan usaha tersebut di sebuah rumah kedai di Puchong pada penghujung 2016.


'Stesen tanaman’ Vegetory di Bangsar Shopping Centre (BSC), Kuala Lumpur. fb.com/Vegetory

"Kami berdua langsung tidak mempunyai pengetahuan tentang pertanian. Saya bekerja sebagai jurujual kejuruteraan sementara isteri lulusan sains komputer,” celah Liew.

Mengakui bukan mudah untuk sampai di tahap sekarang, lelaki itu berkata mereka belajar daripada kesilapan dalam melaksanakan penyelidikan dan pembangunan.

Enggan mendedahkan jumlah pelaburan, Liew berkata sepanjang 2017, mereka langsung tidak menjana sebarang pendapatan kerana sayur-sayuran yang dikeluarkan diberi secara percuma kepada cef dan restoran di sekitar Lembah Klang bagi mendapatkan maklum balas mereka.

"Banyak yang kami pelajari daripada cef-cef ini kerana mereka benar-benar memahami cita rasa dan kehendak pelanggan. Kami ambil maklum balas itu dan tambah baik teknologi di kilang tanaman kami di Puchong,” kata Liew. 

 

PELUASAN PASARAN


Pengasas Vegetory Celleste Kok (kiri) bersama para pekerjanya membuat proses pembungkusan untuk dijual di Vegetory, Jalan Suria Puchong. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sementara itu, Liew berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan dan mereka kini dalam proses untuk bekerjasama dengan sebuah lagi pasar raya.  

"Kerjasama dengan BSC ini adalah yang pertama dan kini kami di peringkat akhir perundingan untuk mewujudkan konsep serupa dengan sebuah lagi pasar raya,” jelasnya. 

Menurutnya, mereka juga baru sahaja membuka sebuah kafe, dikenali sebagai Mori Kohi yang terletak di Jalan Aman off Jalan Tun Razak dekat ini.

Kafe itu yang menyediakan hidangan Jepun ala Barat turut menonjolkan kilang tanaman yang bersambung dengan premis.  

“Nama Mori diambil daripada perkataan Jepun bermakna hutan sementara Kohi pula perkataan Jepun untuk kopi. Seperti konsepnya, kami hiasi kafe ini dengan pelbagai flora untuk mewujudkan suasana berada di tengah-tengah kehijauan rimba.


Rak semaian bertingkat menggunakan sistem Plant Factory Indoor Farming (PFIF) atau kilang tanaman di dalam bangunan. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Kriteria paling menonjol ialah kilang tanaman seluas 300 kaki persegi seperti yang kita ada di BSC Fine Foods,” jelas Kok. 

Menurutnya, mereka merancang untuk membuka kafe itu pada Mac lepas, bagaimanapun ditunda ke pertengahan Oktober lalu berikutan penularan pandemik COVID-19.

“Kami mahu mendidik orang ramai tentang pertanian menegak di kawasan yang terhad dan pada masa sama menekankan kepentingan gaya hidup sihat dengan memakan banyak sayur-sayuran.

"Kami mahu mengubah tabiat pemakanan warga kota dengan memberikan mereka pilihan untuk makan sayur hijau yang bukan sahaja kaya dengan nutrisi tetapi juga mudah disediakan (kerana tanpa penggunaan racun makhluk perosak), sesuai dengan gaya hidup mereka yang sentiasa sibuk,” kata Kok.

 

Diterjemah dan disunting oleh Noor Hayati Muda

BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan