RENCANA

VETERAN SKUAD 69 BANGGA, PENGORBANAN BERBALOI LIHAT SABAH MEMBANGUN

26/09/2022 11:37 AM

Oleh Fadzli Ramli

KOTA KINABALU (Bernama) -- Setiap kali menjejakkan kaki di Negeri Bawah Bayu ini, hati Datuk Alias Abdul Rahman berbunga dengan rasa bangga melihat perubahan dan kemajuan yang dinikmati oleh negeri itu sekarang.

Berasakan peranannya turut menyumbang kepada pencapaian Sabah, anak jati Negeri Sembilan itu bersyukur kerana pengorbanan beliau serta anggota Skuad 69 Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada era 1970-an bagaikan terbayar.


40 veteran Skuad 69 bergambar bersama-sama ketika lawatan ke negeri Sabah baru-baru ini.

“Jejak kaki, turun di Lapangan Terbang (Antarabangsa Kota Kinabalu) sekarang ini (sudah dapat) tengok Sabah banyak sudah pembangunannya, sangat berbeza berbanding dahulu.

“Tengok perubahan macam ini memang kami sangat bangga. Inilah kenikmatan sedikit-sebanyak hasil perjuangan kami untuk Sabah ini,” ujarnya, membuka cerita kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Timbalan Presiden Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 itu ditemui semasa mengadakan lawatan bersama-sama 40 veteran Skuad 69 yang pernah bertugas di negeri ini, khususnya menerusi operasi memburu lanun di pantai timur Sabah.

 

PERTARUH NYAWA  


Antara Anggota 69 Komando yang terlibat dalam latihan akhir Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) 'Counter Terrorist Team' Pasukan Gerakan Khas 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM). --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mengimbas kedatangannya ke negeri ini pada era 1970-an, Alias, 73, berkata tidak seperti sekarang yang mana perjalanan hanya mengambil masa sekitar dua jam setengah menerusi penerbangan, ketika itu beliau dan rakan sepasukan menaiki kapal menempuh gelora Laut China Selatan selama 10 hari sebelum tiba.

Menurutnya, kerajaan menyewa dua buah kapal khas yang masing-masing dinamakan Sang Fajar dan Sang Suria untuk tujuan itu.


Anggota 69 Komando mempersembahkan demonstrasi kemahiran. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Alias yang menghabiskan 36 tahun daripada usianya bersama-sama PDRM, berkata walaupun rata-rata anggota Skuad 69 bukan anak Sabah, hakikat itu tidak menghalang mereka mempertaruhkan nyawa menjaga keselamatan negeri tersebut.

Kongsinya, setiap kali menyertai operasi yang lazimnya berlangsung selama satu hingga  enam bulan, ada sahaja anggota pasukan keselamatan termasuk daripada Skuad 69 yang cedera malah kehilangan nyawa.

“...(justeru) hasil perjuangan kami ini gunakanlah dengan sebaiknya. Ikhlaskan hati dan pikul tanggungjawab untuk jaga serta majukan Sabah serta negara,” pesan beliau.

 

CABARAN TELEKOMUNIKASI


Presiden Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 PDRM Datuk Abdul Aziz Bakar menyampaikan ucapan pada lawatan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran baru-baru ini.-- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA.

Sementara itu, Presiden persatuan Datuk Abdul Aziz Bakar pula meluahkan rasa kagum dengan perkembangan telekomunisasi di Sabah khususnya, yang jelas menikmati inisiatif kerajaan persekutuan melaksanakan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Dilaporkan, pelaksanaan JENDELA di Sabah kini melangkaui 70 peratus dan dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini, yang mana bakal menyaksikan 90 peratus negeri diliputi rangkaian kemudahan Internet jalur lebar.

Mengulas mengenainya, Abdul Aziz berkata pada era 1970-an, akses kepada sistem komunikasi adalah sukar dan hanya untuk kegunaan kritikal.

Malah katanya, bagi melancarkan perjalanan pilihan raya umum (PRU), pihak berkuasa terpaksa “meminjamkan” alat perhubungan PDRM bagi membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Operasi ini bukannya mudah namun tetap dilakukan demi memastikan PRU berjalan dengan baik bagi membolehkan rakyat Sabah memilih pemimpin mereka sendiri melalui sistem demokrasi,” kata veteran PDRM kelahiran Pahang itu.

Menurutnya, terlalu banyak pengorbanan yang dilakukan oleh generasi seusia beliau dan juga sebelumnya yang membolehkan generasi hari ini menikmati kemakmuran termasuk perkembangan teknologi telekomunikasi.

“… walaupun (ada antara) kami ini wira tidak didendang, itu tidak mengapa kerana yang penting mereka dapat hidup dengan  aman  dan sejahtera,” katanya yang menasihati warga muda agar lebih menghargai perkembangan teknologi telekomunikasi khususnya, dan tidak menyalahgunakan kemudahan itu untuk kerja yang sia-sia.

 

INFRASTRUKTUR  BUKAN UKURAN KEMERDEKAAN

Bagi anak watan Sabah, mereka tidak melihat kemerdekaan dari segi pembangunan negeri semata-mata. Sebaliknya, kata mereka, ia turut terletak pada kesediaan rakyat, terutama generasi muda, untuk memanfaatkan peluang yang ada hasil daripada kemakmuran negara.

“Ini penting untuk generasi muda kita. Jika mereka ini masih tidak lagi merdeka dengan anasir negatif seperti jenayah dan tidak mengambil peluang yang ada di depan mata, sukar untuk kita harap mereka ini untuk membawa Sabah terus ke hadapan.

“Merdeka itu bukan hanya diukur daripada kemajuan infrastruktur, tetapi diri rakyat Sabah sendiri, adakah mereka mampu mengambil peluang daripada kebebasan dan keamanan dikecapi masa kini untuk majukan diri mereka dan kemudian majukan Sabah,” kata Mohammad Majid, 68, seorang ketua komuniti di Papar.

Pada masa sama kata beliau, saranan kerajaan agar rakyat bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kebangsaan sebagai menzahirkan rasa bangga dan cinta kepada negara bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilakukan sekalipun tidak diberikan bendera percuma.

Bagi pemimpin negeri Datuk Masidi Manjun, usaha membangunkan Sabah adalah usaha berterusan yang dilakukan bersama-sama kerajaan pusat.

“Negeri kita ini saya faham belum lagi sempurna, banyak lagi kita perlu buat untuk bangunkan negeri ini. (Akan) tetapi banyak sebab kita perlu bersyukur dan kita zahirkan rasa syukur itu sekurang-kurangnya sekali setahun raikan Bulan Kebangsaan dan kibarkan Jalur Gemilang bersama bendera Sabah,” ujar Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu.

“Sabah dan Malaysia ini kita membangun secara bersama sehati dan sejiwa, kita membangun bersama sebagai sebuah Keluarga Malaysia,” tambah beliau.

 

BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan