SUKAN > BERITA

TUNKU ABU BAKAR OPTIMIS NAIK PODIUM LAGI

20/04/2024 01:29 AM

SEPANG, 19 April (Bernama) -- Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim optimis pasukannya Triple Eight Johor Motorspors Racing (JMR) mampu sekali lagi menaiki podium pada GT World Challenge Asia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang bermula esok hingga Ahad. 

Tunku Abu Bakar berkata ia berdasarkan kepada keputusan positif ditampilkan pada Ujian Rasmi yang diharunginya hari ini. 

Menurut Tunku Abu Bakar ini ditambah dengan keserasian bersama gandingannya Jordan Love juga dilihat baik meskipun ini perlumbaan pertama mereka digandingkan, selain kelebihan beraksi di laman sendiri yang menjadi ‘tonik’ tambahan untuk memburu kemenangan. 

“Insya-Allah kita boleh naik podium lagi tahun ini, saya akan cuba lakukan terbaik. Ini kali pertama saya bergandingan dengan Jordan tapi sebelum ini pun beliau telah bersama JMR. 

“Setakat ini kami bekerja dengan baik dan mempunyai komunikasi dan hubungan yang baik. Kami teruja untuk berlumba dan ia satu perkara yang positif,” katanya kepada pemberita selepas menjalani Ujian Rasmi 1 dan 2 di sini hari ini. 

Sementara itu, rakan sepasukan yang juga kakanda kepada Tunku Abu Bakar, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim turut menasihati adindanya itu agar tidak terlalu tertekan dan menikmati perlumbaan esok. 

“Saya rasa Tunku Abu Bakar tahu apa nak buat dan yakin dengan perancangannya. Nasihat saya memang saya nak adik saya seronok dengan perlumbaan itu supaya tidak terlalu tertekan. 

“Podium insya-Allah itu sasaran, harap boleh layak dengan strategi yang bagus,” katanya. 

Tidak seperti tahun sebelum ini, Tunku Abdul Rahman tidak beraksi di SIC kerana ingin fokus bagi perlumbaan siri Asian Le Mans 2023/2024 dan memberi ruang kepada Tunku Abu Bakar. 

Terdahulu, pada Ujian Rasmi 1 hari ini, Tunku Abu Bakar dan gandingannya Love menduduki tangga kedua dengan merakam masa terbaik 2 minit 3.72 saat (s) selepas 19 pusingan litar dengan jenteranya Mercedes-AMG GT3 EVO. 

Tunku Abu Bakar dan Love kemudian terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat pada Ujian Rasmi 2 dengan merakam masa terbaik 2:04.219s selepas 18 pusingan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan