SUKAN > BERITA

AZZMI DILANTIK KETUA JURULATIH SKUAD NSFC MUSIM INI

23/04/2024 10:59 AM

SEREMBAN, 23 April (Bernama) -- Bekas Ketua Jurulatih Polis Diraja Malaysia FC (PDRM FC) Azzmi Ab Aziz dilantik sebagai Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC) baharu berkuat kuasa 15 Feb lepas.

NSFC dalam kenyataan memaklumkan jurulatih berusia 49 tahun itu dipilih bagi menggantikan K.Devan yang tamat kontrak pada Disember tahun lepas.

"Dengan pengalaman luasnya dalam arena bola sepak tempatan, pelantikan ini tepat buat pasukan. Beliau terbukti seorang jurulatih yang berwibawa dan mampu membawa pasukan ke tahap  lebih tinggi," menurut kenyataan itu.

Azzmi pernah membimbing skuad Piala Presiden Negeri Sembisalam lan FC selama tiga musim (2020 – 2022) sebelum berhijrah ke PDRM FC. 

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Penolong Jurulatih bersama Kedah Darul Aman FC bagi dua musim iaitu pada 2017 dan 2018.

"Komitmen Azzmi terhadap pembangunan pemain tempatan juga menjadi faktor penting yang menjadi kelebihan beliau. Beliau akan memberi penekanan kepada pembangunan bakat-bakat tempatan dalam skuad dan membawa mereka ke aras lebih tinggi dalam arena bola sepak tempatan," katanya.

Sementara itu Azzmi berkata pemilihan pemain dibuat lebih awal serta beberapa pemain PDRM FC dibawa masuk dalam pasukan.

"Beberapa pemain lama seperti Nasrullah Haniff Johan, Barathkumar Ramaloo, Muhammad Afiq Fitri Mohd Jefry dan Amirul Hakimi Rosli pernah bersama saya sebelum ini.

"Dengan sokongan semua pihak, InsyaAllah kita dapat persembahkan prestasi lebih baik dan mendapat keputusan positif.” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan