SUKAN > BERITA

WAI CHING MUNCUL JUARA KEJOHANAN LARIAN MENARA DUNIA DI TAIPEI 101

05/05/2024 12:41 AM

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Pelari menara Malaysia Soh Wai Ching muncul juara Kejohanan Larian Menara Dunia di puncak Taipei 101 di Taiwan, hari ini.

Atlet berusia 30 tahun itu, yang sebelum ini menamatkan perlumbaan pada tempat ketiga pada edisi 2018, merangkul kejuaraan itu dengan masa keseluruhan 18 minit dan 36.62 saat pada kejohanan itu yang menarik 6,000 penyertaan.

Wai Ching melengkapkan 91 tingkat pada pusingan pertama (ketinggian 390 meter (m)) dalam 11:35.61s dan melakukan 7:1.01s (ketinggian 256m) pada pusingan kedua.

Atlet Jepun Ryoji Watanabe merekodkan 18:40.04s dan Mark Bourne dari Australia (9:33.12) masing-masing memperoleh tempat kedua dan ketiga, menurut laman web rasmi kejohanan.

Presiden Persatuan Larian Menara Malaysia Ravinder Singh dalam kenyataan berkata Malaysia telah meraih pencapaian signifikan dalam sukan itu selepas Wai Ching dinobatkan sebagai Juara Dunia yang baharu.

"Perjalanan ke puncak menjadi bukti kepada dedikasi dan sikap konsistennya, dalam kemuncak kerjayanya sejak 2020. Selepas empat tahun mengekalkan prestasi cemerlangnya, beliau telah merangkul kejayaan tertinggi sukan ini," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Larian Menara Dunia Daniel Cecetka berkata beliau tertarik dengan idea untuk Malaysia menganjurkan Kejohanan Dunia seterusnya pada 2026.

"Kuala Lumpur, dengan pemandangan bangunan tinggi yang indah dan berada pada ranking ketujuh dengan bangunan berketinggian lebih 300 m paling banyak, merupakan lokasi ideal untuk menganjurkan acara larian menara yang lebih besar.

"Prospek ini menjanjikan kemajuan dan populariti berterusan sukan itu di Malaysia," katanya dalam kenyataan sama.

 

Keputusan melibatkan atlet Malaysia lain:

Lelaki:

11. Muhammad Hazim Zuhairi bin Azahari - 21:43.78s

16. Saddam Pittli – 23:32.33s

43. Ravinder Singh - 50:08.02s

 

Wanita: 

7. Tan Bee Kiang - 26:35.07

10. Nurul Juliana Shakira Abdul Halim - 27:38.40s

21. Valerie Sarah Ong - 32:26.25z

26. Chan Yee Chin – 37:25.75s

 

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan