SUKAN > BERITA

SASC: SPEEDY TIGERS BANGKIT TEWASKAN KANADA 6-2

06/05/2024 12:12 AM

IPOH, 5 Mei (Bernama) -- Pasukan hoki lelaki negara bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Kanada 6-2 pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-30 di sini, malam ini.

Skuad Speedy Tigers yang berdepan kekalahan 4-5 dengan Pakistan semalam, dikejutkan pada minit ke-12 oleh gol Devohn Noronha-Teixeira di Stadium Hoki Azlan Shah di sini, namun segera menyamakan kedudukan menerusi pukulan reverse stick Mohamad Fitri Saari seminit kemudian.

Malaysia selaku pasukan ke-13 dunia, kemudian mengubah permainan menerusi jaringan daripada Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-14 dan Azimuddin Syakir Kamaruddin, yang menolak bola ke dalam jaring pada minit ke-19 untuk mendahului 3-1 pada separuh masa pertama.

Malaysia kemudian menambah dua gol lagi melalui Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi pada minit ke-31 namun pasukan ke-19 dunia Kanada merapatkan jurang menerusi cubaan Avjot Buttar’s pada minit ke-42.

Anak buah Sarjit Singh meneruskan pesta gol menerusi pukulan sudut penalti Syed Syafiq Syed Cholan pada minit ke-48 dan pukulan reverse stick daripada Faizal Saari seminit kemudian. Faizal turut meraih gelaran pemain terbaik perlawanan atau 'Man of the Match'.

Mengulas mengenai kemenangan itu, Sarjit berkata anak buahnya bermain dengan baik dalam beberapa aspek, namun pasukan berwajah baharu itu memerlukan masa untuk menunjukkan peningkatan.

"Secara keseluruhannya komitmen dan prestasi pemain adalah baik, itulah yang diharapkan. Kami masih tidak berpuas hati sebelum terlepas dua gol, sepatutnya dihalang, tetapi kami memberi ruang kepada mereka.

"Kami perlu mengukuhkan pertahanan, kerana apabila ada tekanan sedikit, pasukan kadangkala jadi lemah, tapi ia proses yang panjang. Kami menjaringkan enam gol tapi daripada peluang yang dicipta, peratusan itu masih tidak cukup," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Sarjit turut memuji penyerang muda berusia 19 tahun Azimuddin Syakir, yang menjaringkan gol antarabangsa pertama pada kali kedua beliau mewakili Malaysia.

"Saya sangat gembira untuk beliau. Dan untuk Faizal, memang hebat gol yang dijaringkannya, hanya beliau yang boleh melakukan aksi seperti itu...beliau telah bermain dengan baik, menyokong pasukan, saya sangat gembira para pemain senior (Faizal, Fitri dan kapten Muhammad Marhan Mohd Jalil) yang membimbing pemain dengan baik," katanya.

Terdahulu, Jepun mengejutkan New Zealand 4-1, manakala perlawanan antara dua juara tiga kali, menyaksikan Pakistan mengatasi Korea Selatan 4-0.

Selepas rehat sehari esok, Malaysia dijadualkan untuk bermain pasukan pada ranking tertinggi New Zealand pada Selasa, sementara pasukan tanpa kalah Jepun dan Pakistan akan berentap untuk kedudukan teratas.

Korea Selatan pula akan berdepan Kanada, masing-masing menyasarkan untuk meraih kemenangan pertama. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan