SUKAN > BERITA

EMAS PARIS PENTING UNTUK BAM UBATI KEKECEWAAN DI PIALA THOMAS 2024

06/05/2024 02:14 PM


From Amiril Muttaqien & Mohd Nazirul Mohamed Roselan

 

CHENGDU, 6 Mei (Bernama) -- Lima tahun lalu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah melancarkan ‘Projek 24’ yang antara lain bertujuan untuk merangkul pingat emas pada Sukan Olimpik 2024 dan sebagai finalis Piala Thomas 2024.

Bawa hadapan ke hari ini, apa yang berlaku di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone di sini ialah satu daripada objektif 'Projek 24' tidak tercapai.

Sabtu lalu, usaha Malaysia untuk menamatkan kemarau 32 tahun menjulang Piala Thomas berakhir selepas tumbang 3-1 kepada tuan rumah China pada separuh akhir.

Keputusan sedemikian menimbulkan persoalan sama ada 'Projek 24' mampu membina pasukan hebat yang berkeupayaan menewaskan pemain-pemain handalan dunia kerana ia juga merupakan salah satu objektif utamanya.

Walaupun ada yang beranggapan bahawa mara ke separuh akhir Piala Thomas selepas lapan tahun sebagai keputusan yang positif, tetapi tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia mungkin mampu merangkul Piala Thomas jika skuad mempunyai lebih ramai pemain berkualiti tinggi.

Salah satu kelemahan yang ketara dalam skuad sekarang ialah kekurangan pemain perseorangan lelaki berwibawa kerana mempunyai pemain perseorangan yang hebat adalah penting untuk memenangi Piala Thomas.

Malah Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia Rexy Mainaky menyatakan bahawa terlalu bergantung kepada pemain perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia menyebabkan Malaysia kalah kepada China di separuh akhir.

Zii Jia tewas mudah kepada pemain ranking kedua dunia Shi Yu Qi 19-21, 5-21.

JIka melihat kepada skuad China, semua pemain perseorangan lelaki mereka – Shi Yu Qi, Li Shi Feng dan Lu Guang Zu – mempunyai kekuatan yang hampir sama, sebaliknya masih terdapat jurang yang besar antara Zii Jia dan pemain negara lain yang diturunkan seperti Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh.

Apa yang lebih membimbangkan ialah Zii Jia adalah satu-satunya pemain badminton negara yang berada dalam ranking 10 terbaik dunia manakala pemain utama BAM, Ng Tze Yong, yang tidak hadir akibat kecederaan belakang di kedudukan ke-18 diikuti Jun Hao (ke-37), June Wei (ke-63) dan Justin (ke-233).

Justeru, pemain perseorangan lelaki terutamanya di bawah BAM perlu berusaha lebih gigih sekiranya mereka menyasarkan untuk memenangi lebih banyak kejuaraan dan membantu negara memenangi Piala Thomas.

Bagi Zii Jia pula, persoalan masih kekal sama ada ‘pelaburan’ yang dibuat BAM ke atasnya adalah wajar memandangkan badan kebangsaan itu perlu melakukan pembayaran setiap kali dia beraksi di sini kerana ‘hak imej’.

Pemain ke-10 dunia itu telah menang tiga perlawanan dan kalah dua kali di sepanjang kejohanan berpasukan badminton paling berprestij dunia di sini.

Bagaimanapun, ketiga-tiga kemenangan yang dicatatkan pemain berasal dari Kedah itu adalah menentang pemain ranking lebih rendah, sementara itu dia masih bergelut untuk mengatasi pemain ranking lebih tinggi termasuk tewas straight set kepada pemain nombor satu dunia daripada Denmark Viktor Axelsen 16-21, 22-24, semasa perlawanan terakhir kumpulan D.

Prestasinya di Chengdu pastinya menimbulkan keraguan tentang keupayaannya untuk memperoleh pingat emas di Sukan Olimpik 2024.

Sementara itu, masih terdapat ruang penambahbaikan bagi dua beregu negara – Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani – selepas persembahan mereka dalam Piala Thomas 2024.

Walaupun mampu memberi tentangan terhadap 10 pasangan terbaik dunia, Aaron-Wooi Yik, di ranking kelima, perlu lebih konsisten menjelang Paris 2024, manakala Sze Fei-Nur Izzuddin pula perlu tahu bagaimana mendapatkan mata penting untuk memenangi perlawanan.

Selain prestasi pasukan, semangat berpasukan sangat luar biasa apabila mereka terus bersorak kuat di tempat pertandingan untuk memberi inspirasi kepada rakan sepasukan untuk berjuang sehingga titisan peluh terakhir di gelanggang.

Walaupun Zii Jia memilih untuk tidak menyertai kem latihan selama seminggu bersama pasukan kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara sebelum Piala Thomas, namun komitmennya terhadap rakan sepasukannya di sini sangat tinggi dan dipuji oleh Rexy.

Malah, Rexy berkata pemain berusia 26 tahun itu juga yang pertama muncul semasa sesi pertemuan dengan pakar psikologi Frederick Tan selepas perlawanan separuh akhir Sabtu lalu.

Sungguhpun tidak mengejutkan apabila pasukan wanita negara tersingkir awal sekali lagi dalam saingan Piala Uber, tetapi aksi beberapa pemain negara agak mengecewakan.

Memang benar mentaliti diperlukan untuk beraksi dengan baik tetapi di mana semangat juangnya? Mengapa beberapa pemain menjatuhkan kepala dan mengaku kalah dengan cepat?

Oleh itu, BAM perlu menggunakan pendekatan radikal dalam usaha meningkatkan taraf kem wanita kebangsaan.

Ia harus merangkumi rancangan strategik jangka panjang untuk meningkatkan taraf badminton wanita Malaysia dengan melakukan lebih banyak usaha mencungkil bakat-bakat baharu di seluruh negara dan membentuk mereka untuk mengurangkan jurang antara mereka dengan pemain bertaraf dunia yang lain.

Sementara itu, tuan rumah, China, tidak dinafikan lagi telah mempamerkan penguasaan mereka dalam Piala Thomas dan Uber 2024.

China merangkul kejuaraan Piala Thomas ke-11 mereka dengan mengalahkan Indonesia 3-1 dan meraih gelaran Piala Uber ke-16 dengan kemenangan 3-0 juga menentang Indonesia, Ahad.

Jika keputusan tahun ini memberikan sebarang petunjuk,  perlu diambil perhatian bahawa China boleh menguasai Sukan Olimpik 2024 dan pemain lain terutamanya dari Malaysia perlu meningkatkan tahap permainan untuk mengatasi cabaran hebat mereka.

Salah satu yang menonjol pada kejohanan itu ialah kebangkitan skuad lelaki Taiwan apabila mereka berjaya mara ke separuh akhir buat kali pertama dengan mengecewakan juara 2016 yang diketuai oleh Axelsen, 3-1, pada suku akhir.

Dalam perkembangan lain, bekas juara dunia dua kali perseorangan lelaki, Kento Momota dari Jepun mengundurkan diri dari persada antarabangsa tanpa melakukan sebarang pukulan bulu tangkis berikutan kekalahan 1-3 negaranya kepada Malaysia dalam aksi lapan terakhir.

Momota yang menaruh harapan untuk menjulang Piala Thomas kali kedua bersama Jepun memutuskan untuk bersara daripada pertandingan antarabangsa selepas tempoh yang mencabar berikutan kemalangan kereta di Lebuhraya Maju di Malaysia pada awal 2020.

Memandangkan Piala Thomas dan Uber 2024 telah berakhir, BAM boleh fokus dalam membantu pemain-pemain negara untuk mengejar pingat emas Sukan Olimpik 2024 di Paris yang bermula dari 26 Julai-11 Ogos dan memastikan 'Projek 24' tidak dianggap sebagai satu kegagalan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan