SUKAN > BERITA

SASC: SPEEDY TIGERS PERLU LEBIH EFISIEN BERTEMU NEW ZEALAND

06/05/2024 05:51 PM

IPOH, 6 Mei (Bernama) -- Skuad hoki lelaki negara digesa supaya lebih efisien dalam melakukan penyudahan, menjelang pertemuan juara bertahan itu dengan pasukan pada ranking tertinggi New Zealand pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-30 (SASC) esok.

Pasukan ke-13 dunia Speedy Tigers bangkit daripada kekalahan 4-5 menentang Pakistan dalam perlawanan pembukaan pada Sabtu untuk menjinakkan Kanada 6-2 malam tadi.

Keputusan itu sekali gus meningkatkan moral pasukan untuk mempertahankan kejuaraan apatah lagi selepas berjaya mengatasi New Zealand 3-2 dalam pertemuan persahabatan Rabu lepas (1 Mei).

Enam pemain berbeza iaitu Mohammad Fitri Saari (pada minit ke-13) Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (14), Azimuddin Syakir Kamaruddin (19), Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi (31), Syed Syafiq Syed Cholan (48) dan Faizal Saari (49), berjaya mencatatkan nama sebagai penjaring malam tadi.

Bagaimanapun, ketua jurulatih Sarjit Singh tidak begitu gembira dengan statistik berkenaan memandangkan anak buahnya terlepas banyak peluang di samping merasakan mereka sepatutnya mengelak kesilapan yang membolehkan lawan menjaringkan dua gol.

Berdepan pasukan yang layak ke Olimpik yang juga mendapat julukan The Black Sticks Men itu, selepas berehat sehari, Sarjit berharap para pemain akan belajar daripada kesilapan dan bermain dengan lebih berani ketika menentang pasukan nombor 10 dunia itu, yang dijangka mencuba sedaya upaya untuk menebus kekalahan 1-4 ke atas Jepun semalam.

“New Zealand ialah pasukan yang sangat baik dan sempurna, apabila mereka menekan anda, ia akan jadi perlawanan yang sangat sukar untuk kami. Tetapi bagus untuk pemain bermain dalam perlawanan seperti ini kerana bagi kami ia adalah suatu proses pembelajaran memandangkan masih ada masa panjang (sebelum Sukan Asia 2026), harapnya kami (pasukan) semakin bertambah baik," katanya kepada pemberita di sini.

Sarjit berkata beliau tidak mempunyai banyak masa untuk mempersiapkan pasukan berwajah baharu itu sejak mengambil alih Mac lepas, terutamanya untuk menumpukan pada program latihan fizikal memandangkan jadual kejohanan yang padat.

Selepas SASC, Speedy Tigers akan menyertai Piala Negara-Negara di Poland bermula 31 Mei hingga 9 Jun dan Piala Juara-Juara Asia di China pada 8-17 Sept.

Sementara itu, ketua jurulatih New Zealand Greg Nicol berharap pemainnya akan cepat menyesuaikan diri dengan cuaca panas dan lebih kreatif dalam mencipta peluang, selepas hanya berjaya menjaringkan satu gol walaupun berjaya menembusi kotak penalti sebanyak 37 kali ketika menentang Jepun malam tadi.

"Kami perlu merangka strategi semula dan dapatkan cara untuk menewaskan Malaysia di hadapan penonton tuan rumah. Kami hanya mahu kejohanan yang kompetitif dan kejohanan ini menyajikannya.

“Bertemu Jepun, kami berhasil mencari ruang namun tidak dapat melakukan penyudahan apabila berada di kubu lawan...itu sesuatu yang perlu kami perbaiki," katanya sambil menambah pasukan The Kiwis itu mahu memanfaatkan kejohanan jemputan untuk bersiap sedia menghadapi musim panas di Paris bagi temasya Olimpik pada 23 Julai hingga 11 Ogos ini.

Ketika ini, Pakistan mengungguli carta kedudukan menerusi kelebihan gol meskipun berkongsi enam mata dengan Jepun selepas dua perlawanan, diikuti Malaysia dan New Zealand masing-masing tiga mata, manakala Korea Selatan dan Kanada kekal di anak tangga bawah tanpa sebarang mata.

Dua pasukan terbaik selepas pusingan robin akan berentap untuk kejuaraan, manakala pasukan di tempat ketiga dan keempat akan bermain untuk penentuan pingat gangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan