SUKAN > BERITA

HAMIDIN MASIH ADA MISI YANG BELUM SELESAI SEBAGAI PRESIDEN FAM

06/05/2024 09:16 PM

PETALING JAYA, 6 Mei (Bernama) -- Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin memberi bayangan untuk terus menerajui badan induk itu kerana terdapat misi yang masih perlu diselesaikan di bawah kepimpinannya. 

Bercakap kepada Bernama, pemimpin berusia 58 tahun itu berkata antara perkara yang masih menjadi tumpuan adalah projek pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) dan Wisma FAM yang baharu masing-masing di Putrajaya. 

Katanya, beliau juga mahu melihat skuad Harimau Malaya mencipta sejarah dengan mara ke pusingan ketiga kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 buat julung kali dalam tempoh terdekat.

“Orang ramai suruh saya letak jawatan mereka tidak tahu perkara sebenar, jadi saya tidak terpengaruh dengan perkara tersebut, minat saya terhadap bola sepak yang buat saya berada di sini. 

“Jadi biar perkara (soal jawatan) ini ikut prosedur mengikut peraturan yang ada, tahun depan ada pemilihan, saya okey siapa nak bertanding boleh bertanding,” katanya pada sesi temu bual khas presiden FAM dan Bernama di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, hari ini. 

Pada masa sama, Hamidin yang dilantik sebagai presiden FAM bermula penggal 2018-2021 dan mengekalkan jawatan tanpa dicabar bagi penggal 2021-2025,  berkata keputusannya untuk terus memimpin FAM juga bergantung kepada permintaan ahli gabungan badan induk itu.

Sementara itu, beliau menafikan hanya akan meletakkan jawatan selepas melihat segala perancangan legasinya berjaya menjadi kenyataan.

“Tak semestinya (projek itu berjaya semasa saya presiden), saya akan pergi bila sampai masanya,” katanya. 

Sebelum ini, terdapat gesaan supaya Hamidin meletakkan jawatan kerana didakwa prestasinya sebagai presiden tidak begitu memuaskan selepas timbul isu ‘surat layang’ yang memburukkan kepimpinan dan pengurusan FAM hujung Mac lepas.

Baru-baru ini, media tempatan mengaitkan beberapa nama dengan jawatan presiden FAM antaranya Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, dengan kedua-duanya memiliki pengalaman di FAM.

Turut dikaitkan dengan jawatan tertinggi FAM itu ialah dua individu dari dunia korporat, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group Bhd (MAG) Datuk Kapten Izham Ismail.

Khairy dan Tengku Zafrul masing-masing sudah memberi reaksi seakan tidak berminat dengan jawatan itu kerana komitmen terhadap tugasan dan tanggungjawab ketika ini sementara Mohamad Salim enggan mengulas mengenai perkara itu.

Kongres Pemilihan FAM bagi penggal 2025-2029 dijadual berlangsung tahun depan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan