SUKAN > BERITA

LAPOR POLIS JIKA ATLET DIANCAM, DIUGUT - EXCO PERAK

08/05/2024 09:37 PM

IPOH, 8 Mei (Bernama) -- Kerajaan Perak meminta atlet negeri ini yang menerima ancaman atau ugutan daripada mana-mana pihak supaya melaporkan kejadian berkenaan kepada polis.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata tindakan itu disifatkan sebagai satu langkah keselamatan dalam mencegah kejadian tidak diingini.

“Di pihak kerajaan negeri sendiri juga kita kena pastikan bahawa keselamatan gelanggang dan fasiliti sukan itu diberikan keutamaan yang sewajarnya.

“Pemakaian Kod Sukan Selamat yang diperkenalkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini juga seharusnya dipratikkan oleh setiap atlet bagi memastikan tiada perkara buruk atau kecelakaan menimpa mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sukan Negeri Perak dan Countdown 100 hari SUKMA Sarawak dan Majlis Sambutan Aidilfitri 2024 bersama warga sukan negeri Perak di sini hari ini.

Pada 2 Mei lepas, pemain bola sepak Terengganu FC Akhyar Rashid cedera selepas dipukul dengan besi boleh laras dalam kejadian samun di Terengganu, diikuti penyerang Selangor FC Faisal Halim mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor pada 5 Mei lepas. 

Semalam, cermin kereta bekas ketua pasukan skuad bola sepak kebangsaan Safiq Rahim turut dipecahkan oleh individu tidak dikenali berhampiran pusat latihan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Sri Gelam, Johor Bahru.

Sementara itu, Khairudin berkata Perak FC dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak telah mencapai kata sepakat bagi memastikan penyertaan Perak dalam acara bola sepak di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Kuching direalisasikan, sekali gus menafikan khabar angin yang mendakwa Perak bakal menarik diri dalam acara itu.

“Tidak timbul lagi cakap-cakap Perak FC takkan bantu dan sebagainya. Perkara itu kita dah putuskan dalam perjumpaan yang diadakan dua minggu lepas, yang dipengerusikan saya.

“Besar harapan kita agar bola sepak juga boleh menjadi juara kerana sejarahnya kita merupakan antara pasukan pilihan selain pernah memenangi pingat emas sebanyak tiga kali dalam kejohanan ini,” katanya.

Pada 23 Mac lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC Bobie Farid Shamsuddin menegaskan Perak FC berkemungkinan tidak akan melepaskan pemain bawah 20 tahun mereka untuk menyertai SUKMA di Kuching yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan.

Beliau dalam kenyataan sama memaklumkan keputusan itu dibuat disebabkan faktor tajaan dan kewangan yang tidak mencukupi disediakan oleh MSN Perak.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan