SUKAN > BERITA

MARI SAMA-SAMA PULIH IMEJ BOLA SEPAK NEGARA - HAMIDIN

08/05/2024 10:08 PM

SHAH ALAM, 8 Mei (Bernama) -- Semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung diseru supaya mengembleng tenaga untuk memulihkan imej bola sepak negara yang terjejas susulan tiga insiden serangan jenayah ke atas pemain bola sepak negara baru-baru ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata permasalahan yang timbul sehingga dilihat mampu menggugat imej bola sepak negara itu perlu diatasi segera semua pihak termasuk FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku pengelola Liga Malaysia (Liga-M).

“Kita kena pulihkan sama-sama supaya perkara ini tidak terjadi lagi…kita perlu berusaha ke arah untuk memulihkan keadaan ini sebaik mungkin.

“Semua pihak kena main peranan bukan hanya pihak berkuasa, media, penyokong, kelab, MFL dan FAM untuk sama-sama membendung dan mengatasi masalah ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sebuah hospital swasta di sini, hari ini.

Pada masa sama, sebagai langkah pertama Hamidin berharap segala spekulasi yang boleh ‘memanaskan’ lagi keadaan dihentikan serta-merta.

Beliau juga menepis dakwaan segala permasalahan yang timbul berkait rapat dengan kepimpinannya, selain ia akan berakhir jika beliau meletakkan jawatan sebagai presiden FAM.

"Saya tahu apa saya buat, saya buat ikhlas untuk bola sepak tak ada apa-apa kepentingan, kenyataan itu adalah andaian masing-masing, kita serahkan pada pihak berkuasa,” kata Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berusia 58 tahun itu.

Terdahulu, Hamidin mengiringi Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh melawat pemain sayap sensasi Harimau Malaya dan Selangor FC Faisal Halim selepas pemain berusia 26 tahun itu menjalani pembedahan kedua, semalam.

Ahad lepas, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal Halim yang lebih mesra disapa ‘Mickey’ dalam kalangan peminat, cedera disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya sekali gus menarik perhatian media luar negara termasuk di Eropah.

Pemain yang memenangi gol terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lepas itu disahkan mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas menjalani pembedahan pertama pada Ahad malam, selain pergerakan dan percakapannya turut terbatas.

Insiden itu merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain negara selepas pemain pinjaman Terengganu FC, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, Khamis lepas.

Serangan terhadap pemain bola sepak negara memasuki episod baharu apabila pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim pula diserang dua lelaki menaiki motosikal yang memecahkan cermin bahagian belakang keretanya menggunakan tukul besi di Johor Bahru, semalam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan