SUKAN > BERITA

LIGA-M 2024/2025 MEDAN PENYATUAN 'KELUARGA BESAR' BOLA SEPAK NEGARA

10/05/2024 05:37 PM

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2024/2025 yang bermula esok, dilihat berpeluang menjadi medan penyatuan keluarga besar bola sepak tanah air, yang digemparkan dengan siri insiden serangan jenayah terhadap tiga pemain negara baru-baru ini.

Nasib malang menimpa pemain negara terutama pemain sayap sensasi Harimau Malaya dan Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim, yang disimbah asid di pusat beli-belah di Petaling Jaya, Ahad lepas, memberi kesan besar ke atas emosi hampir kesemua pencinta bola sepak tempatan.

Rentetan kejadian berkenaan serta ancaman terhadap beberapa lagi pemain dan pegawai Selangor selepas itu, naib juara Liga Super 2023 itu memutuskan untuk tidak hadir ke perlawanan Sumbangsih menentang juara bertahan Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT), yang dijadual berlangsung hari ini.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak mempunyai pilihan selain terpaksa membatalkan perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor itu dan memberi kemenangan percuma dengan keputusan 3-0 serta tiga mata pertama Liga Super musim ini, kepada skuad Harimau Selatan.

Terdahulu, Selangor memohon supaya perlawanan Sumbangsih ditunda, namun MFL menolak permohonan itu disebabkan pihak polis sudah memberikan jaminan keselamatan.

Tempias buruk daripada siri serangan jenayah ke atas permain negara itu, sehingga tidak semena-mena menjejaskan aksi pembuka tirai Liga-M musim ini, menjadi pengajaran terbaik buat MFL dalam menghadapi sebarang insiden tidak diingini, di permulaan musim berikutnya.

Liga-M 2024/2025 menawarkan enam trofi kejuaraan bermula dengan Piala Sultan Haji Ahmad Shah (perlawanan Sumbangsih), Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, MFL Challenge Cup dan Piala MFL khusus untuk saingan Liga Simpanan.

Memandang ke hadapan, kancah tertinggi saingan domestik Liga Super yang menghimpunkan 13 pasukan antaranya JDT, Selangor FC, Terengganu FC, Kedah Darul Aman FC dan Sabah FC, akhirnya akan menemui peminat mulai esok dengan tiga perlawanan dijadual berlangsung di venue berbeza.

JDT kendalian Hector Bidoglio berada di landasan tepat untuk terus mencipta sejarah, dengan mempertahankan kejuaraan Liga Super kali ke-11 berturut-turut, selain muncul pasukan pertama melakukan triple treble iaitu menjuarai Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA serentak tiga musim berturut-turut.

Lapan lagi pasukan yang menghangatkan saingan Liga Super ialah juara Piala FA 2018 Sri Pahang FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC, Perak FC, juara Piala Malaysia 2021 Kuala Lumpur City FC, PDRM FC, Kuching City FC dan Kelantan Darul Naim FC.

Susulan kejadian malang menimpa tiga pemain negara, saingan Liga Super musim ini dilihat membuka peluang buat kesemua 13 pasukan bertanding, untuk mengembleng tenaga memulihkan imej bola sepak negara yang tercalar, dengan melipatgandakan semangat kesukanan dan profesionalisme.

Ia secara tidak langsung akan mendidik penyokong kelab masing-masing dan menyemai benih positif dalam keluarga besar bola sepak tanah air, sekali gus dapat mengurangkan atau mengelak insiden sama yang menimpa tiga pemain negara daripada berulang.

Sudah tiba masanya Liga-M yang ditunjangi Liga Super, berperanan lebih besar untuk terus meremajakan industri bola sepak negara supaya dapat mewujudkan sebuah ekosistem yang stabil, serta mampu melonjakkan lagi nilai komersial liga.

Sementara itu, saingan Liga-M musim ini yang mengikut format kalendar Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), dijangka lebih menarik dan bakal mencipta sejarah baharu bola sepak negara apabila buat kali pertama teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR), akan digunakan.

Penggunaan teknologi itu sudah mendapat kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan dijadual digunakan pada perlawanan Sumbangsih.

Penggunaan VAR yang telah digunakan meluas dalam saingan liga mahupun kejohanan di peringkat antarabangsa, diharap dapat membantu pengadil tempatan dalam membuat keputusan yang lebih tepat sekali gus meningkatkan mutu pengadilan dan perlawanan.

Selain tumpuan terhadap VAR, kalendar Liga-M yang menyaksikan saingan berlangsung dalam dua tahun berbeza, dilihat mampu menyelesaikan masalah pertindihan jadual perlawanan melibatkan pertandingan antarabangsa di peringkat kelab, mahupun pasukan kebangsaan.

Antaranya ialah perlawanan dan pertandingan melibatkan pasukan kebangsaan dalam kalendar FIFA; pertandingan peringkat kelab iaitu Liga Juara-Juara AFC Elit dan Liga Juara-Juara AFC 2; saingan Sukan Malaysia (SUKMA) dan tempoh rehat serta perjalanan kelab.

Selain itu, MFL turut melaksanakan Financial Fair Play (FFP), sebagai permulaan kepada usaha untuk menangani krisis tunggakan gaji bagi kelab-kelab bola sepak tempatan.

Selepas pembatalan perlawanan Sumbangsih, tiga aksi Liga Super akan bermula esok melibatkan pertembungan PDRM dan Kedah Darul Aman FC, Sri Pahang FC menentang Kelantan Darul Naim FC dan Terengganu FC bertemu Perak FC, manakala dua lagi pada Ahad iaitu antara Sabah FC dan Penang FC serta Kuala Lumpur City FC bertemu Kuching City FC.

Selain Mohamad Faisal, dua lagi pemain negara diserang di dua lokasi berbeza baru-baru ini ialah pemain sayap Terengganu FC Muhammad Akhyar Abdul Rashid di Kuala Terengganu dan pemain tengah JDT yang juga bekas kapten Harimau Malaya Safiq Rahim di Johor Bahru.

Pemerhati dan penganalisis bola sepak tempatan berpendapat saingan Liga-M masih mempunyai aura tersendiri, namun kerjasama daripada semua pihak diperlukan bagi menjayakan musim 2024/2025 yang dianggap berpotensi menjadi permulaan kepada era baharu bola sepak negara ke arah kecemerlangan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan