SUKAN > BERITA

JOSUE OPTIMIS MENGENAI PELUANG MALAYSIA DALAM PERLAWANAN PENTING MENENTANG TAIWAN

10/06/2024 06:45 PM

PETALING JAYA, 10 Jun (Bernama) -- Pemain tengah kebangsaan Paulo Josue menyatakan keyakinannya menjelang perlawanan penting terakhir Kumpulan D Malaysia pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Pemain Kuala Lumpur (KL) City FC kelahiran Brazil itu berkata Harimau Malaya menyasarkan untuk mencapai keputusan positif dan mengatasi perbezaan gol mereka dalam usaha menghidupkan semula peluang mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak lebih awal ke Piala Asia 2027.

Josue yang mengakui cabaran untuk memastikan kemenangan besar menentang Taiwan menekankan bahawa walaupun tugas itu tidak mudah, pemain tengah berusia 35 tahun itu menggesa rakan sepasukannya untuk merebut sebarang harapan tersedia dan memberi komitmen terbaik di atas padang.

“Kami hanya berharap untuk mendapat keputusan yang baik dan cuba mengurangkan perbezaan gol ini sebanyak mungkin, sudah tentu ia bukan satu kerja yang mudah tetapi kami masih mempunyai sedikit harapan dan kami perlu mengambilnya serta cuba memberikan yang terbaik, itu sahaja,” katanya pada sidang media praperlawanan di Wisma FAM di Kelana Jaya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Josue mengakui tugas getir dalam mengatasi perbezaan jaringan terutamanya dengan kehilangan pemain penyerang utama pasukan iaitu pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim dan Arif Aiman ​​Mohd Hanapi.

“Tetapi bagi pemain yang berada di dalam pasukan, kami akan cuba sedaya upaya untuk mengatasi perbezaan gol walaupun bukan mudah untuk mendapatkan keputusan 7-0, 6-0 walaupun 5-0. Pertama sekali kita perlu dapatkan gol pertama dan selepas itu gol kedua dan seterusnya.

“Semua pemain sedar bukan mudah untuk menjaringkan gol sebanyak itu, tetapi kami mempunyai peluang, kami akan cuba memberikan yang terbaik,” tambah Josue.

Dia juga menekankan pentingnya menjaringkan gol awal sambil kekal kukuh dalam pertahanan.

“Menjaringkan dua gol dalam 10 atau 20 minit pertama adalah sesuatu yang diinginkan, tetapi pada masa yang sama kami juga tidak boleh melepaskan gol dan ia tidak mudah, namun kami akan cuba yang terbaik dan mengekalkan harapan ini sehingga tamat permainan,” katanya.

Malaysia kini berada di tempat ketiga Kumpulan D dengan tujuh mata - tiga mata di belakang pasukan tangga kedua Kyrgyzstan yang juga mempunyai kelebihan perbezaan gol menjelang perlawanan akhir, manakala Oman mendahului kumpulan dengan 12 mata dan telah layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.

Dalam perlawanan terakhir kumpulan, Malaysia dalam keadaan bolos dua gol (-2) akan melayan Taiwan, manakala Kyrgyzstan dengan kelebihan enam gol (+6) gol akan bertandang ke Muscat untuk menentang Oman.

Sekiranya gagal mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026, Malaysia perlu bersaing di pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 untuk peluang membuat penampilan kedua berturut-turut dalam kejohanan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan