SUKAN > BERITA

PESTABOLA MERDEKA 2024: MALAYSIA DIJANGKA BERDEPAN PASUKAN PENCABAR KELAYAKAN PIALA ASIA

13/06/2024 05:19 PM

PETALING JAYA, 13 Jun (Bernama) -- Skuad Harimau Malaya dijangka berdepan pasukan pencabar utama dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 pada saingan Pestabola Merdeka 2024, September depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Noor Azman Rahman berkata pasukan daripada Balang 1 dan 2 Kelayakan Piala Asia akan dijemput berentap pada kejohanan itu bagi mempersiapkan skuad bimbingan Kim Pan Gon menjelang aksi kelayakan Piala Asia.

“Kita akan anjur Pestabola Merdeka dengan menjemput empat pasukan...tapi kita belum putuskan (pasukan mana), bulan depan akan hantar jemputan,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM ke-11 di Wisma FAM di sini hari ini. 

Berdasarkan ranking semasa, Malaysia menjadi pasukan terbaik daripada Balang 2 bersama Filipina, Turkmenistan, Afghanistan, Singapura dan Yaman manakala Syria, Tajikistan, Thailand, Vietnam, Lubnan dan India berada di Balang 1. 

Hong Kong, Taiwan, Maldives, Myanmar, Nepal dan Bangladesh pula mengisi Balang 3 manakala Bhutan, Laos, Pakistan dan tiga pemenang 'play-off' akan berada dalam Balang 4.

Pestabola Merdeka 2023 menyaksikan Tajikistan, India dan Palestin dijemput beraksi di kejohanan berkenaan dengan Harimau Malaya terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas dikecewakan Tajikistan di pentas final Oktober tahun lepas.

Dalam pada itu Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata Harimau Malaya bakal berdepan perlawanan persahabatan pada jendela perlawanan antarabangsa Oktober ini dengan pasukan yang dipilih juga merupakan skuad daripada Balang 1 dan 2 Kelayakan Piala Asia 2027.

Beliau pada masa sama memuji prestasi skuad Harimau Malaya yang berjaya meraih 10 mata dalam Kumpulan D meskipun gagal melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Mengulas mengenai status Pan Gon, Mohd Yusoff berkata Ketua Jurulatih skuad kebangsaan itu akan terus mengemudi skuad Harimau Malaya sehingga tamat kontraknya tahun depan. 

“Setakat ini tiada perbincangan lain dengan jawatankuasa pengurusan kebangsaan atau jurulatih sendiri (mengenai Pan Gon), kita akan mengikut kontrak sedia ada, sampai tahun depan.

“Kontrak kita akan kekalkan, jadi apa-apa pertandingan sebelum tamat kontrak akan diteruskan Pan Gon,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan