SUKAN > BERITA

KEMENANGAN KE ATAS BUKIT TAMBUN KEMBALIKAN KEYAKINAN KDA FC

15/06/2024 10:45 AM

ALOR SETAR, 15 Jun (Bernama) – Kemenangan ke atas Bukit Tambun FC dalam saingan Piala FA malam tadi dilihat mampu mengembalikan keyakinan pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bagi menghadapi perlawanan seterusnya.

Pengendali KDA FC Mohd Nafuzi Zain berkata kemenangan itu penting selepas beberapa kekalahan yang dialami pasukannya dalam saingan Liga Super sebelum ini.

“Bagi saya yang penting menang, yang penting perlawanan malam ini (malam tadi) kita layak ke pusingan seterusnya dan dari segi barisan pemain kita lebih kepada untuk mencari gol,” katanya.

Beliau kepada pemberita selepas perlawanan yang menyaksikan KDA FC membelasah Bukit Tambun FC dengan jaringan 5-0 di Stadium Darul Aman, di sini.

Dalam pada itu, Mohd Nafuzi turut mengingatkan pemainnya agar sentiasa bersedia dan tidak leka dalam setiap perlawanan dan mahu mereka meningkatkan prestasi serta memperbaiki kelemahan bagi mengharungi perlawanan yang semakin mencabar selepas ini.

Sementara itu, pengendali Bukit Tambun FC, Hasbul Hazani Daud menyifatkan perlawanan bertemu KDA FC malam tadi sebagai mencabar dan memberi pengalaman buat pasukannya untuk lebih fokus menghadapi pasukan kuat dalam Liga Super.

Beliau berkata dalam perlawanan malam tadi tiga jaringan di separuh masa pertama oleh pasukan tuan rumah memberi impak yang besar hingga melemahkan rentak dan semangat pemainnya.

“Bila kita ketinggalan tiga gol babak pertama...memberi impak besar buat pasukan, kita terpaksa ubah permainan kerana menahan asakan pemain Kedah.

“Semangat pasukan terganggu, tapi saya berpuas hati pemain boleh bermain sampai habis perlawanan dalam keadaaan gol demi gol Kedah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan