SUKAN > BERITA

OLAHRAGA TERBUKA MALAYSIA : UMAR TEPATI RAMALAN MUNCUL JUARA

15/06/2024 06:48 PM

KUANTAN, 15 Jun (Bernama) -- Pemegang rekod kebangsaan acara lari 400 meter lelaki Umar Osman, berjaya menepati ramalan apabila muncul juara acara itu dengan mencatat masa 46.27 saat (s) pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2024, di Stadium Darul Makmur di sini, hari ini.

Umar berkata kejayaan yang diunggulinya tidak mudah, kerana perlu berusaha keras mendapatkan kembali rentak larian selepas tujuh bulan mengalami kecederaan.

“Pada saingan separuh akhir kejohanan ini, saya berjaya mendapatkan kembali rentak larian dengan catatan 46.83s dan final 46.27s, justeru saya amat berpuas hati kerana telah melepasi sasaran peribadi.

“Sasaran saya selepas ini ialah menyertai Sukan Universti ASEAN (AUG) di Surabaya, Indonesia. Saya akan cuba yang terbaik tetapi perlu lihat juga keadaan tubuh saya, jika tidak mengizinkan, saya hanya sasar pingat emas,” katanya kepada pemberita di sini.

Tempat kedua diraih atlet Sabah Muhammad Khalil Helmi (47.6s) sementara atlet ATM Luqmanul Hakim Khairul Akma, ketiga (47.92s).

Umar, 21, atlet kelahiran Johor berkata keputusan Olahraga Terbuka Malaysia itu secara langsung meningkatkan keyakinannya untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Auburn di Amerika Syarikat (AS).

“Terbuka Malaysia, kejohanan ketiga saya tahun ini, memang saya sasarkan catatan masa terbaik agar Universiti Auburn lebih mempercayai kebolehan saya,” katanya.

Dia yang mewakili MSN mengakui, kini sedang mempersiapkan diri menduduki Test of English as a Foreign Language' (TOEFL), yang dijangka diambilnya pada Julai ini selepas AUG di Surabaya, bagi melanjutkan pengajian ke Universiti Auburn.

Sebagai rekod, catatan terbaiknya dalam acara larian 400 meter ialah 46.09s yang juga rekod kebangsaan dilakukan di Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Chengdu, China pada Ogos 2023 sementara catatan terbaik musim ini ialah 47.35s.

Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2024 yang membuka tirainya Jumaat, bakal berlangsung selama tiga hari di Stadium Darul Makmur di sini, menampilkan 578 atlet terdiri daripada 17 pasukan dalam negara dan lapan negara luar seperti Australia dan Rusia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan