SUKAN > BERITA

320 PEMAIN TERBAIK JEJAK JUARA 2024 SERTAI LATIHAN BAWAH KLBA

15/06/2024 07:19 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Sebanyak 320 pemain yang menyertai Kejohanan Badminton Tertutup Jejak Juara 2024 akan diserap ke dalam program kendalian Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) dalam masa terdekat. 

Presiden KLBA Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata pemain-pemain terbaik dipilih daripada jumlah keseluruhan 2,600 peserta mengambil bahagian dalam kejohanan yang bermula 10 Jun lepas itu. 

Beliau memaklumkan kesemua pemain itu akan menjalani latihan di empat sekolah dipilih sebagai lokasi Pusat Latihan Daerah (PLD) iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepong Baru (PLD Sentul), SMK Sri Pantai (PLD Bangsar), SMK Seri Bintang Selatan (PLD Pudu) dan SMK Wangsa Melawati (PLD Keramat) dengan jurulatih akan ditempatkan untuk memberi panduan dan tunjuk ajar kepada pemain.

“KLBA telah memantau dan menilai seramai 320 pemain berbakat yang akan dimasukkan ke dalam empat pusat latihan sedia ada dan daripada jumlah tersebut, seramai 94 pemain yang menampilkan permainan cemerlang akan diserap pula ke skuad elit KLBA,” katanya.

Jahaberdeen berkata demikian kepada Bernama selepas majlis penutupan kejohanan itu di Arena Badminton Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Cheras di sini hari ini. 

Dalam pada itu, beliau berkata KLBA kekal komited untuk melahirkan lebih ramai jaguh badminton yang berkebolehan dan mampu memberi saingan di peringkat antarabangsa menerusi penganjuran kejohanan tersebut.

Menurut beliau, tumpuan utama Projek Jejak Juara 2022 hingga 2027 yang dilancarkan dua tahun lepas adalah bagi memastikan Malaysia mempunyai banyak pilihan pemain yang berprestasi tinggi berbanding mengharapkan kepada beberapa nama sahaja. 

“KLBA harap mempunyai lebih ramai bakat terutamanya dengan perkembangan meluas badminton sekarang ini yang mampu beri saingan di peringkat antarabangsa supaya kita tidak perlu bergantung kepada satu atau dua pemain sahaja.

“Saya juga lihat banyak bakat dalam kalangan perempuan pada kejohanan ini yang boleh diketengahkan pada masa akan datang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan