SUKAN > BERITA

SAYA TAK AKAN BENARKAN MASALAH DI SBA GANGGU PEMAIN BADMINTON SARAWAK – ABDUL KARIM 

15/06/2024 07:36 PM

KUCHING, 15 Jun (Bernama) -- Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah memberi jaminan akan menjaga secara peribadi kebajikan pemain-pemain negeri berikutan kemelut Persatuan Badminton Sarawak (SBA) baru-baru ini.

Beliau berkata walaupun kementeriannya tidak terlibat dalam isu kepimpinan dalam SBA, mereka memantau keadaan itu bagi memastikan ia tidak menjejaskan pemain khususnya mereka yang akan bertanding dalam SUKMA XXI Ogos ini.

“Menteri Sukan (Sarawak) akan jaga pasukan (badminton) Sarawak. Saya tidak akan benarkan sesiapa buat hal sampai kontinjen badminton (SUKMA) Sarawak terganggu,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar melawat Muzium Budaya Borneo di sini hari ini.

Perbalahan dalam kepimpinan SBA berlaku apabila sekumpulan ahli yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan pemegang jawatan persatuan yang diadakan pada Julai 2021 telah membawa perkara itu ke Mahkamah Tinggi Kuching yang telah membatalkan keputusan pemilihan pada 17 Mei tahun ini.

“Kami tidak terlibat dalam kes itu, tetapi kami menghormati keputusan mahkamah. Saya tidak berpihak di sini. Jika seseorang gembira (dengan keputusan mahkamah), biarkan mereka gembira. Ia tidak bermakna badminton (di Sarawak) akan mati,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan