SUKAN > BERITA

LEBIH BAIK MAIN DI VENUE NEUTRAL DARIPADA AKSI TANPA PENONTON - MOHD SADEK

27/06/2024 03:48 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) seeloknya berlangsung di venue neutral.

Pemerhati bola sepak tempatan Mohd Sadek Mustafa mencadangkan pertembungan membabitkan kedua-dua gergasi bola sepak tempatan itu berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil berbanding aksi tanpa penonton di Stadium MBPJ berdasarkan hukuman Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kepada Selangor, baru-baru ini.

“Bermain tanpa penonton merupakan satu keputusan yang tidak bijak oleh MFL, kenapa tidak bermain di venue neutral seperti Stadium Nasional Bukit Jalil dengan kedua-dua pasukan boleh jana keuntungan dari perlawanan tersebut.

“Perlawanan kedua-dua pasukan ini ibarat final. Dari segi penyiaran juga bagus, MFL pula dapat banyak faedah dan keuntungan serta boleh beri imej positif kepada liga kita,” katanya kepada Bernama.

 Aksi tanpa penonton tersebut merupakan sebahagian daripada empat bentuk hukuman dikenakan MFL kepada Selangor susulan tidak hadir pada perlawanan Sumbangsih menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor bulan lepas.

Skuad Gergasi Merah turut didenda RM100,000, pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025 serta perlu membayar pampasan kerugian ditanggung JDT selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan musim itu dengan jumlahnya akan dimaklumkan kelak.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan hukuman tersebut dikenakan berdasarkan pulangan komersial memandangkan tiada pendapatan atau keuntungan daripada perlawanan di Johor.

Justeru, Stuart berkata perlawanan timbal balik juga tidak seharusnya memberikan keuntungan kepada pasukan terbabit.

Sementara itu, Mohd Sadek berkata MFL sewajarnya mengadakan proses perbicaraan kepada Selangor terlebih dahulu berbanding terus menjatuhkan empat hukuman berkenaan kepada naib juara Liga Super 2023.

“Selain Selangor, MFL juga boleh panggil wakil JDT dan syarikat penyiar rasmi (Astro). Namun keputusan dibuat tanpa dengar penjelasan kedua-dua pihak dan berdasarkan surat penangguhan (Selangor) sahaja. 

“Ada sesuatu yang tidak kena and tatacara jatuh hukum boleh dipertikai,” katanya.

 Dalam satu kenyataan balas, Selangor sedang meneliti serta mengkaji semua saluran bersesuaian bagi mengambil tindakan seterusnya berhubung hukuman dikenakan MFL.

Selangor menjelaskan mereka memohon penangguhan perlawanan Sumbangsih selepas kes jenayah serangan asid terhadap Mohamad Faisal Abdul Halim pada 5 Mei lepas dan beberapa lagi insiden lain yang melibatkan pemain bola sepak tanah air, namun permohonan itu ditolak.

Keputusan itu menyaksikan JDT diberikan kemenangan percuma dengan jaringan 3-0 dan mendapat tiga mata bagi aksi Liga Super.

Pemotongan tiga mata menyaksikan Selangor yang kini berada di kedudukan kedua Liga Super dengan mengumpul sembilan mata akan jatuh ke posisi kelima.

Bagaimanapun, Stuart memaklumkan juara 33 kali Piala Malaysia itu mempunyai tempoh sekurang-kurangnya empat hari untuk mengemukakan rayuan daripada tarikh keputusan hukuman itu dikeluarkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan