SUKAN > BERITA

KEM RENANG TERUS CERIAKAN KONTINJEN MALAYSIA, RAIH DUA EMAS DI AUG 2024

28/06/2024 08:03 PM

Daripada Nurul Izzati Mansor

SURABAYA, 28 Jun (Bernama) -- Kem renang negara terus menceriakan kontinjen Malaysia apabila menghadiahkan dua lagi pingat emas di hari ketiga temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 hari ini. 

Perenang lelaki negara Bryan Leong Xin Ren mengungguli final 100 meter (m) kupu-kupu lelaki dengan catatan masa 54.22 saat (s) di kolam renang Komite Olahraga Nasional Indonesia (KONI). 

Tempat kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik perenang Singapura Ong Jung Yi (54.93s) dan perenang tuan rumah Joe Aditya Wijaya Kurniawan (55.16s). 

Kecemerlangan itu diteruskan Hii Puong Wei yang merangkul pingat emas dalam acara 200m kuak dada lelaki dengan catatan masa 2:20.08s, diikuti perenang Thailand Janruksa Thanoichai (21:21.5s) dan pencabar tuan rumah Andi Muhammad Nurrizka Febrianto (2:21.34s) masing-masing meraih perak dan gangsa. 

Kem renang turut memperoleh sebutir pingat perak menerusi Phii Jinq En dalam acara 200m kuak dada wanita dengan catatan masa 2:33.89s di belakang perenang tuan rumah Adellia yang meraih emas (2:33.81s) dan gangsa juga menjadi milik perenang Indonesia Azzahra Permatahani (2:36.46s). 

Malaysia turut menyambar satu gangsa menerusi skuad wanita dalam acara 4x100 gaya bebas yang dibarisi Wong Shi Qi, Georgene We Jee Ern, Ng Zi Syuen dan Chu Xin Ying dengan catatan masa keseluruhan 4:06.85s. 

Sementara itu kem judo suram tanpa emas apabila hanya memperoleh sebutir pingat perak menerusi Siti Roha Miszuraini yang menumbangkan atlet tuan rumah Ike Faradiba Nurjannah menerusi 'ippon' dalam kategori atas 78 kilogram (+78kg).

Siti Roha sebelum itu dikecewakan pencabar Indonesia Indah Permatasari menerusi 'ippon' dalam perlawanan sengit pusingan pertama.

Kontinjen Malaysia turut membawa pulang dua pingat gangsa menerusi skuad catur dalam acara rapid wanita yang disertai S. Nithyalakshimi selain acara rapid berpasukan dibarisi Nithyalakshimi, Chua Jia Tien, Puteri Rifqah Fahafa Azhar serta Puteri Munajjah Az-Zahraa Azhar.

Bagi hari keempat AUG 2024 esok, tumpuan terarah kepada skuad badminton berpasukan wanita negara yang akan bertemu Thailand dalam perebutan pingat emas di Malang di sini.

Skuad negara menempah slot ke final selepas memenangi tiga perlawanan bertemu Indonesia (3-2) pada Rabu, Thailand (4-1) semalam dan Singapura (5-0) hari ini, masing-masing di peringkat kumpulan. 

Kem judo turut dijangka berpotensi menjelmakan pingat pada aksi berpasukan selain renang, catur dan sukan mendaki tembok. 

Kontinjen Malaysia kekal berada di tangga kedua carta kedudukan pingat dengan 10 emas, tujuh perak dan 13 gangsa di belakang Indonesia dengan 39 emas, 28 perak dan 18 gangsa. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan