SUKAN > BERITA

DEMAM TAK HALANG BRYAN SAMBAR EMAS DI AUG 2024

28/06/2024 08:35 PM

Daripada Nurul Izzati Mansor

SURABAYA, 28 Jun (Bernama) -- Atlet renang lelaki negara Bryan Leong Xin Ren berasa gembira kerana masih mampu untuk meraih pingat emas acara 100 meter (m) kupu-kupu lelaki di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024, meskipun mengalami demam panas sejak beberapa hari lepas.

Atlet berusia 21 tahun itu berkata beliau tidak menjangka mampu menamatkan aksi hari ini dengan kilauan emas, apabila hanya mahu fokus untuk menamatkan perlumbaan kerana mengakui dirinya tidak berada tahap terbaik akibat demam berkenaan. 

“Keadaan saya bukan berada di tahap terbaik sebab saya sedang demam, sekarang saya masih sakit, kepala pening, saya hanya fikir nak habiskan perlumbaan, catatan masa pun bukan yang terbaik tapi gembira masih dapat emas untuk Malaysia.

“Malam tadi, saya cuba minum air banyak, dan dapatkan rehat cukup, saya masih rasa sakit tapi pasukan minta saya buat terbaik, saya cuba sehabis baik,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan di kolam renang Komite Olahraga Nasional Indonesia (KONI) di sini hari ini.

Terdahulu, Bryan mencatatan masa 54.22 saat (s) di aksi final untuk menyambar emas meninggalkan perenang Singapura Ong Jung Yi (54.93s) dan perenang tuan rumah Joe Aditya Wijaya Kurniawan (55.16s) untuk pingat perak dan gangsa.

Beliau pada masa sama turut menyasarkan untuk meraih satu lagi pingat emas dalam acara 4x100m gaya bebas berpaskan lelaki, yang akan berlangsung esok. 

Selain Bryan, Malaysia turut memperoleh pingat emas menerusi Hii Puong Wei dalam acara 200m kuak dada lelaki dengan catatan masa 2:20.08s di hadapan perenang Thailand Janruksa Thanoichai (21:21.5s) dan pencabar tuan rumah Andi Muhammad Nurrizka Febrianto (2:21.34s) masing-masing meraih perak dan gangsa. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan