SUKAN > BERITA

ESTHER MENYERLAH DI SEBALIK KECEDERAAN RUSUK

30/06/2024 05:13 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Kecederaan tulang rusuk dialami wakil negara Esther Joy Chen tidak menghalang beliau untuk muncul naib juara di Kejohanan Persekutuan Triathlon Asia Tenggara (SEATF) di Lumut, Perak hari ini.

Saingan berlangsung di Marina Island Pangkor bersempena Pesta Sukan Perak 2024 menyaksikan Esther melengkapkan cabaran dengan masa keseluruhan 1 jam 18 minit dan 54 saat (s) di belakang pemenang gangsa Sukan SEA 2021 Raven Alcoseba dari Filipina (1:18.10s) manakala seorang lagi wakil tempatan Cindy Sui memperoleh gangsa (1:22.32s).

Biarpun tidak berjaya mempertahankan kejuaraan dimenanginya pada edisi lepas, Esther tetap berpuas hati dengan pencapaian hari ini.

"Saya sebenarnya tidak begitu yakin dengan pertandingan kali ini kerana saya baharu sahaja terlibat dalam kemalangan sewaktu berbasikal beberapa minggu lepas sehingga menyebabkan keretakan pada tulang rusuk.

"Justeru, mengambil kira keadaan saya ini, saya masih berupaya bukan sahaja untuk menamatkan perlumbaan malah memburu kedudukan terbaik. Ini tetap pencapaian yang agak bagus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu dalam saingan lelaki, atlet dari Filipina mendominasi saingan menerusi Andrew Remolino dan Matthew Hermosa yang membawa pulang pingat emas dan perak selepas masing-masing melakukan 1:10.32s dan 1:10.42s manakala wakil negara Martyn Lim (1:12:06s) yang membawa pulang gangsa.

Edisi ketiga kejohanan SEATF menyaksikan peserta perlu melengkapkan tiga saringan berasingan dengan kombinasi rutin berbeza iaitu berenang 300 meter (m)-berbasikal 5 kilometer (km)-berlari 2.5km bagi saringan pertama, berlari 2.5km-berbasikal 5km-berenang 300m untuk saringan kedua dan saringan ketiga melibatkan berenang 300m-berlari 2.5km-berbasikal 5km, kesemuanya perlu dilengkapkan dalam tempoh satu jam setengah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan