SUKAN > BERITA

EMPAT WAKIL BADMINTON NEGARA MARA KE FINAL AUG 2024

01/07/2024 07:16 PM

Daripada Nurul Izzati Mansor

SURABAYA, 1 Julai (Bernama) -- Empat wakil badminton negara mara ke final Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di Pusat Konvensyen Graha Cakrawala, Universitas Malang, hari ini.

Wakil perseorangan lelaki negara Hooi Shao Herng mengecewakan pencabar dari Thailand, Arree Puritat 21-19, 16-21, 21-13 pada perlawanan separuh akhir petang tadi.

Shao Herng bakal berdepan tentangan sengit esok apabila dijadualkan bertemu seorang lagi atlet Thailand, Pusri Nachakorn yang juga merupakan pilihan utama kejohanan.  

Turut melangkah ke pentas akhir, beregu lelaki negara Wong Tien Ci-Liew Xin yang menewaskan pasangan Thailand Mangkornloi-Promsarin Paramet, 23-21, 21-19.

Mereka bakal membuat perhitungan dengan gandingan tuan rumah Elgiffani Muhammad Juan-Purnama Riza Dwicahya, esok.

Beregu wanita negara Valeree Siow- Lee Xin Jie meneruskan kecemerlangan skuad badminton negara dengan menumbangkan pilihan kedua kejohanan, Pattaraporn Rungruengpramon-Pichampn Phatcharaphisut dari Thailand, 21-15, 21-17.

Menanti mereka di final, juga pasangan dari negara Gajah Putih itu, Atitaya Pavonan-Chasinee Korepap. 

Gandingan Wee Yee Hern-Ng Qi Xuan turut menempah slot ke pusingan akhir acara beregu campuran, setelah berjaya menahan asakan pasangan tuan rumah, Hafidz Gerardo Rizqullah-Nadia Tryola, 21-10, 21-18.

Yee Hern-Qi Xuan bakal berdepan satu lagi sayap 'Garuda' Muhammad Juan Elgiffani-Elizabeth Jovita dalam temasya sukan yang menghimpunkan mahasiswa dan mahasiswi ASEAN itu, esok. 

Sementara itu, Ketua Jurulatih negara Datuk Abdul Rashid Mohd Sidek berkata kemaraan empat wakil negara ke final sekali gus memenuhi sasaran skuad badminton AUG negara.

"Cuma sukar pada perseorangan wanita. Kita cuba yang terbaik untuk dapatkan seberapa banyak pingat emas di final esok," katanya kepada pemberita hari ini. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan