SUKAN > BERITA

HENTI BESARKAN ISU, FOKUS PEMBANGUNAN SUKAN - PENGANALISIS

02/07/2024 01:58 PM

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Fokus patut diberikan kepada usaha menyusun semula strategi pembangunan sukan negara ke tahap lebih tinggi berbanding terus membesarkan isu yang disensasikan netizen, kata penganalisis sukan tempatan Datuk Dr Pekan Ramli.

Antaranya kecaman terhadap Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin susulan kenyataan beliau ketika mempertahankan rekaan pakaian rasmi kontinjen negara yang mendapat kritikan rata-rata peminat sukan di media sosial.

Nama Hamidin turut diseret dalam krisis antara Selangor FC dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sehingga ada gesaan supaya beliau melepaskan kedua-dua jawatan selaku Presiden FAM dan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Paris 2024.

Bagi Pekan, beliau melihat kenyataan dibuat Hamidin itu adalah secara spontan dan tidak membawa maksud yang tidak baik, namun mempunyai kesan tersendiri.

“Apa yang dikatakan mungkin dalam keadaan spontan tetapi mungkin boleh mengguris hati pihak tertentu walaupun itulah kenyataannya," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau turut mengingatkan pemimpin-pemimpin sukan supaya tidak cepat berpuas hati dan berasa 'besar' sebaliknya perlu berlapang dada untuk menerima teguran seterusnya berusaha memperbaiki keadaan.

Turut senada dengan Pekan, Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) Datuk Nur Azmi Ahmad yang berkata pemilihan pakaian rasmi kontinjen negara diputuskan Jawatankuasa MOM dan bukannya Hamidin seorang.

“Bagi saya netizen tak boleh salahkan Hamidin, itu Jawatankuasa MOM punya keputusan. Dalam konflik bola sepak, saya tak nak berpihak pada sesiapa, tetapi kalau netizen nak marah satu organisasi besar dan bertaraf antarabangsa disebabkan pihak lain punya silap atau keputusan, saya rasa ia tidak adil.

“FAM adalah badan induk bola sepak, MFL satu badan berlainan, Hamidin sebagai Presiden FAM tak boleh mengganggu pentadbiran MFL dan sebagai Presiden FAM, sudah pasti beliau lagi banyak benda yang perlu difikirkan,” katanya yang juga Naib Presiden MOM.

Dalam pada itu, legenda bola sepak negara Datuk Jamal Nasir Ismail turut merasakan tidak wajar menyalahkan Hamidin atas isu pakaian rasmi kontinjen negara yang subjektif, selain menganggap konflik Selangor-MFL adalah di luar kawalan Hamidin.

“Pasal Selangor punya kes, buat apa nak marah-marah dia (Hamidin), bukan keputusan dia (tapi) keputusan MFL...MFL adalah badan pentadbir yang berbeza dan tidak berada di bawah FAM,” kata bekas pemain pertahanan Harimau Malaya berusia 70 tahun itu.

Mempunyai pengalaman hampir 40 tahun dalam kancah bola sepak negara, Hamidin mendapat kepercayaan dipilih sebagai Presiden FAM pada 2018 dan sebelum itu beliau pernah menjadi Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Cabaran kepimpinan Hamidin ketika ini memasuki fasa baharu apabila beliau memikul satu lagi tugas penting sebagai CDM ke Paris 2024 untuk menjayakan misi Malaysia memenangi pingat emas pertama Olimpik pada temasya sukan empat tahun sekali itu dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan