SUKAN > BERITA

AUG 2024: OLAHRAGA BUTIR TIGA LAGI EMAS

03/07/2024 09:30 PM

Daripada Nurul Izzati Mansor

SURABAYA, 3 Julai (Bernama) -- Lagu Negaraku  sekali lagi berkumandang di bumi Indonesia sebanyak tiga kali apabila kem olahraga negara cemerlang menyumbang tiga pingat emas dalam acara 400 meter (m) lelaki dan wanita selain 4x100m lelaki di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 hari ini. 

Emas itu hadir menerusi Umar Osman dalam acara 400m lelaki yang menamatkan larian dengan catatan masa 47.22 saat (s) untuk pingat emas pada aksi final yang berlangsung di Gelanggang Olahraga Universitas Negeri Surabaya (UNESA). 

Pingat perak dan gangsa masing-masing menjadi milik pelari tuan rumah Muhamad Ramdan Fitadi (48.20s) dan pelari Thailand Jirateep Bundee (48.66s). 

Kecemerlangan itu diteruskan Shereen Samson Vallabouy dalam acara 400m wanita yang  menamatkan larian di tempat pertama dengan catatan masa 53.71s, meninggalkan pelari Thailand Benny Nontanam (55.09s) dan pelari tuan rumah Maulidah (56.51s) masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.

Lebih manisnya, Malaysia turut memperoleh sebutir lagi pingat emas menerusi kuartret Alif Iman Mohd Fahimi, Mohd Raimi Mustafa Kamal, Mohammad Thaqif Mohammad Hisham dan Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang mengungguli acara 4x100m dengan catatan masa 40.10s.

Pingat perak dan gangsa masing-masing menjadi milik Thailand (40.75s) dan Indonesia (40.93s). 

Acara 4x100 wanita pula membutirkan pingat gangsa menerusi Chelsea  Cassiopea Evali Bopulas, Azreen Nabila Alias, Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka dan Nur Aishah Rofina Aling yang menamatkan saingan dengan catatan 47.13s. 

Sementara itu, Umar ketika ditemui berkata beliau berpuas hati dengan penampilannya hari ini dan tekad untuk menyumbang satu lagi pingat emas dalam acara 4x400m lelaki yang akan berlangsung esok. 

"Hari ini saya yakin dapat emas sebab yakin dengan diri saya sendiri. Kejohanan ini juga persediaan ke Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak," katanya kepada pemberita selepas kejohanan di sini hari ini. 

Sebagai rekod, tiga pingat emas ini menjadikan sukan olahraga memperoleh keseluruhan enam pingat emas untuk kontinjen Malaysia. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan