SUKAN > BERITA

IBU CETUS MINAT ROUXIN HINGGA KE KOLAM OLIMPIK DI PARIS

03/07/2024 11:12 PM

KUALA LUMPUR, July 3 (Bernama) -- Tan Rouxin, yang hanya mula berenang kerana ibunya, kini tinggal beberapa minggu lagi untuk melakukan apa yang banyak orang hanya boleh impikan - bersaing dengan yang terbaik dunia di pentas sukan terbesar dunia - Sukan Olimpik Paris.

Perenang remaja kelahiran Johor Bahru itu berkata beliau mula berenang sejak berusia enam tahun, semuanya kerana ibunya takut dia mungkin lemas jika tidak tahu berenang dengan cara  yang betul.

Menurut gadis berusia 18 tahun itu, itulah yang menggerakkan minatnya dalam sukan itu walaupun perjalanannya tidak mudah untuk sampai ke tahap sekarang kerana ia memerlukan banyak pengorbanan.

"Ibu mahu saya belajar berenang ketika berusia enam tahun untuk mengelakkan daripada kecelakaan lemas dan saya mula meminati sukan ini...jadi saya terus berenang sehingga sekarang.

“Saya berdepan 'pasang surut’  terutamanya ketika berusia 14 tahun dan gagal mengatasi catatan peribadi terbaik ...itu adalah pengalaman mengharungi masa paling sukar dalam kerjaya renang tetapi jurulatih, keluarga dan rakan-rakan memberi sokongan dan dorongan kepada saya," katanya kepada Bernama.

Minggu lalu, Persekutuan Renang Malaysia (MAS) menamakan Rouxin dan perenang lelaki Khiew Hoe Yean untuk mengisi tempat wild card dalam Olimpik Paris dari  26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Rouxin yang memenangi enam pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 akan beraksi dalam acara 100 meter (m) kuak dada manakala Hoe Yean menyertai 400m gaya bebas.

Ditanya mengenai perasaannya untuk mewakili negara pada acara berprestij itu, dia mengakui cukup terkejut tetapi gembira dan bersyukur dengan peluang keemasan itu.

Sebagai sebahagian daripada persiapannya, dia juga mendapatkan nasihat daripada idolanya, perenang negara Phee Jinq En yang bertanding dalam dua Sukan Olimpik - Rio 2016 dan Tokyo 2020.

“Dia sangat membantu saya membuat persiapan untuk Sukan Olimpik. Dia sentiasa memberi nasihat berguna dan saya amat menghargai mempunyai senior sepertinya yang juga idola saya," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan