SUKAN > BERITA

TZE LIANG ADA PELUANG TIPIS KE PARIS 2024 - BRYAN

04/07/2024 06:36 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Atlet terjun negara Ooi Tze Liang mempunyai peluang tipis untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengarah teknikal skuad terjun negara Bryan Nickson Lomas berkata atlet berusia 30 tahun itu mempunyai peluang dalam acara 3m papan anjal lelaki sekiranya terdapat wakil yang telah layak menarik diri. 

“Jika mana-mana negara yang dah layak tolak, Tze Liang ada peluang. Apapun, kita perlu tunggu hingga 8 Julai untuk mendapat pengesahan daripada Akuatik Dunia.

“Slot tambahan ini bergantung kepada perkiraan Akuatik Dunia kerana kuota untuk sukan terjun di Olimpik adalah 136 atlet,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis memperkenalkan jenama Skechers selaku kasut rasmi kontinjen Malaysia ke Olimpik Paris 2024 di Wisma OCM di sini hari ini. 

Tze Liang, juara Sukan Komanwel Glasgow 2014 pernah beraksi di Olimpik Rio 2016 untuk menamatkan saingan di kedudukan ke-22 bagi acara 10m platform. 

Minggu lepas, Nur Dhabitah Sabri menerima slot tambahan bagi acara 3m papan anjal wanita untuk menemani penerjun muda Bertrand Rhodict Lises yang layak secara merit bagi 10m platform lelaki ke Olimpik Paris.

Setakat ini, 26 atlet telah mendapat lampu hijau untuk mewakili Malaysia di Olimpik Paris bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan