SUKAN > BERITA

KDA FC LANCAR JERSI BAHARU SECARA DIGITAL 25 JULAI

04/07/2024 05:25 PM

ALOR SETAR, 4 Julai (Bernama) -- Jersi baharu skuad Sang Kenari akan dilancarkan pada 25 Julai ini secara digital berikutan ia masih dalam proses pengilangan di luar negara ketika ini.

Pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata pelancaran itu akan dibuat menerusi laman media sosial Facebook rasmi kelab itu pada pukul 10 malam.

“Pelancaran awal secara digital dahulu, dan akan buat program-program secara fizikal pada esok harinya (26 Julai) menjelang perlawanan dengan Kuching City FC. Jadi, ramai-ramai nantikan pelancaran jersi ini dan datang ke Stadium Darul Aman untuk memberi sokongan kepada pasukan KDA FC,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini, Mohd Daud berkata kelab itu akan mengumumkan penaja utama bagi musim ini pada majlis pelancaran jersi baharu skuad Sang Kenari yang dijangka berlangsung pada awal Julai.

Dalam pada itu, beliau berkata kelab juga menerima maklum balas positif berhubung penajaan dan sedang dalam proses untuk memuktamadkan penaja yang berpontensi menjadi penaja pertama dan kedua dalam masa terdekat.

“Kita juga telah lancar pelbagai produk hasil kerjasama dengan syarikat-syarikat lain. Sambutan adalah baik tetapi saya masih kurang berpuas hati kerana KDA FC memerlukan sambutan yang hebat dari penyokong bagi membolehkan pendapatan yang mantap diperoleh bagi membantu kewangan kelab.

“Selepas ini akan ada banyak lagi produk yang kita akan lancarkan, antaranya minyak wangi, minuman air mineral, tudung dan skim takaful… Jadi, kita harap semua boleh tampil ke depan untuk membantu pasukan KDA FC,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan