SUKAN > BERITA

PENGEKALAN MALAYSIA DI DIVISYEN PREMIER ARC BERGANTUNG KEPADA SRI LANKA

04/07/2024 07:55 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Malaysia masih berpeluang untuk kekal di Divisyen Premier Kejuaraan Ragbi Asia (ARC) sekiranya Sri Lanka enggan bermain dalam aksi Challenge Match yang dijangka diadakan Januari depan.

Setiausaha Agung Kehormat Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Mohamad Fahmy Abd Jalil berkata Sri Lanka diberi masa sehingga 31 Julai ini oleh Ragbi Asia untuk memberi kata putus berhubung perkara itu. 

Beliau berkata kejohanan ARC 2025 Divisyen Premier penting buat Malaysia memandangkan ia menawarkan tiket automatik ke Piala Dunia Ragbi 2027 di Australia kepada juara, manakala tempat kedua perlu bermain dalam aksi kelayakan menentang pasukan dari benua Afrika.

“Saya telah menyertai satu mesyuarat bersama Ragbi Asia pada Ahad lepas dan antara keputusan dibuat, Ragbi Asia telah beri tempoh sehingga 31 Julai kepada Sri Lanka yang juga juara divisyen 1 untuk memberi maklum balas sama ada ingin mencabar Malaysia atau menolak.

“Andai kata Sri Lanka terima untuk bermain Challenge Match, Malaysia akan menjadi tuan rumah. Tetapi kalau Sri Lanka menolak kita akan terus berada dalam Divisyen Premier ARC 2025,” katanya.

Mohamad Fahmy berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis undian Kejohanan Ragbi 7 Sebelah (7s) Kebangsaan dan Piala Agong di sini hari ini.

Terdahulu Skuad Bunga Raya menamatkan kempen Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2024 di kedudukan tercorot selepas gagal mengutip sebarang mata apabila tumpas ketiga-tiga perlawanan menentang Korea Selatan, Hong Kong dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sementara itu, ketika ditanya berkenaan sama ada rombakan bakal dilakukan oleh KRM terhadap skuad Ragbi 15 sebelah negara susulan aksi hambar di kejohanan ARC Divisyen Premier, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat exco pasukan malam ini.

“Kita akan bincang dalam mesyuarat exco malam ini. Pihak pengurusan akan dapat laporan pascanilai, jadi kita akan maklumkan semula sama ada pengurusan (pasukan ragbi 15 sebelah) akan dikekalkan atau tidak,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan