SUKAN > BERITA

BEKALAN EMPAT GOL TIDAK JAMIN TFC KE SEPARUH AKHIR PIALA FA - STEINBRUCKNER

05/07/2024 02:45 PM

KUALA NERUS, 5 Julai (Bernama) -- Kelebihan empat gol yang dimiliki Terengganu FC (TFC) menjelang aksi timbal balik bukan jaminan untuk skuad Penyu layak ke peringkat separuh akhir Piala FA.

Justeru itu, ketua jurulatih skuad Penyu Tomislav Steinbruckner mahu anak buahnya kekal fokus dan tidak memandang rendah ancaman Sabah FC pada pertemuan di Stadium Likas malam esok.

Steinbruckner berkata skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee pastinya akan memberi tekanan dan berjuang habis-habisan untuk memastikan TFC tersingkir dan berputih mata.

Skuad Penyu perlu lebih berwaspada dan bersedia dengan sebarang kemungkinan atau kejutan yang bakal dihidangkan skuad Sang Badak yang dibarisi ramai pemain kebangsaan.

"Kita ada 90 minit untuk menang. Kita jangka berdepan cabaran dari Sabah di awal permainan memandangkan mereka mengejar untuk mendapatkan lebih banyak jaringan.

"Jadi, saya harap pemain dapat mencatat keputusan yang baik seperti perlawanan pertama. Bermain secara bertahan bukan idea yang bernas kerana akan meletakkan pasukan kita berada di bawah tekanan dan mengundang lebih banyak masalah," katanya ketika dihubungi hari ini.

TFC membawa bekalan selesa ke negeri di bawah bayu selepas menewaskan Sabah FC 4-0 pada perlawanan pertama suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) 28 Jun lepas.

Sementara itu, pemain tengah skuad Penyu Manuel Ott berkata beliau akan bekerja keras untuk memastikan TFC mara ke peringkat separuh akhir seterusnya ke perlawanan akhir Piala FA.

Beliau berazam untuk menebus kekecewaan peminat pada 2022 apabila skuad Penyu tewas di tangan Johor Darul Ta'zim pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan