SUKAN > BERITA

LA28: KBS BINCANG KEPERLUAN SKUAD SKUASY JALANI LATIHAN DI LUAR NEGARA

10/07/2024 05:02 PM

KAJANG, 10 Julai (Bernama) -- Persiapan awal bagi skuad skuasy termasuk keperluan menjalani latihan di luar negara untuk memburu pingat emas pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) sedang dibincang dan diperhalusi, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Beliau berkata skuasy akan dipertandingkan buat julung kalinya di pentas berprestij dunia itu, justeru skuad skuasy negara yang menjadi sandaran untuk membawa pingat emas pertama sukan tersebut perlu membuat persiapan rapi.

“Kita sekarang sedang berbincang dengan pasukan skuasy mengenai khidmat tambahan yang mereka perlukan sama ada latihan di sini ataupun di luar negara. 

“Kita sedang berbincang dengan SRAM (Persatuan Raket Skuasy Malaysia) juga untuk pastikan mereka buat persediaan dari sekarang dan hasrat mereka semua adalah untuk membawa balik pingat emas Olimpik pertama untuk skuasy,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Projek Reben Kuning peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024 di Penjara Wanita Kajang, di sini hari ini.

Menerusi inisiatif Road To Gold (RTG)- Fast Track, terdapat empat pemain skuasy negara tersenarai dalam program berkenaan iaitu Ng Eain Yow, S. Sivasangari, Aifa Azman dan Aira Azman.

Selain atlet skuasy, dua penerjun muda negara iaitu Bertrand Rhodict Lises dan Enrique Maccartney Harold disenarai dalam program RTG-Fast Track.

Ditanya mengenai keselamatan kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 susulan pergolakan politik yang berlaku di Perancis, Hannah memberi jaminan keselamatan mereka menjadi keutamaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Beliau berkata KBS sudah membuat persiapan dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) juga sentiasa berhubung dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) berhubung perkembangan di Paris.

“Keselamatan atlet dan kontinjen, termasuk staf-staf sokongan yang pergi itu merupakan keutamaan kepada kita. 

“Jadi kita akan sentiasa mendapat maklumat daripada MOM dan IOC. Kita dah buat persiapan dan telah diberikan taklimat. Kita harap semuanya berjalan lancar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan