SUKAN > BERITA

KEM BADMINTON TAHU APA YANG DIHARAPKAN DI PARIS - REXY

10/07/2024 06:50 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Kem badminton negara tahu apa yang diharapkan oleh pemegang taruh dan rakyat pada Sukan Olimpik Paris 2024 yang bakal berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini, iaitu kilauan pingat emas. 

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berkata walaupun pihaknya tidak mengumumkan sasaran pingat secara rasmi, tetapi perbincangan mengenai sasaran diadakan secara dalaman. 

“Semua pihak tahu, selalu akan bincang mengenai perkara ini dan mungkin tahu dari MOM (Majlis Olimpik Malaysia), Kementerian Belia dan Sukan, bahawa semua orang mahu lagu Negaraku berkumandang di pentas Olimpik dengan meraih pingat emas. 

“Sekiranya kita berjaya, semua orang akan gembira, jika tidak saya yang kena bertanggungjawab. Buat masa ini, semua persiapan berlangsung dengan baik dengan bantuan Majlis Sukan Negara dan RTG (Road to Gold), saya gembira dengan itu,” katanya pada sidang media di ABM di sini hari ini. 

Rexy berkata beliau merasakan bahawa beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah, beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta pemain perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia mempunyai peluang untuk membawa pulang pingat pada kali ini. 

Beliau berkata bukannya mahu mengetepikan perseorangan wanita profesional Goh Jin Wei, tetapi keadaan semasa bekas juara dunia remaja pada masa ini tidak berada pada tahap untuk mencabar pingat. 

Rexy, pemenang pingat emas beregu lelaki Olimpik Atlanta 1996 berkata beliau sentiasa berkongsi maklumat dan memberikan motivasi kepada pemain di ABM untuk menjadi lebih baik di dalam dan di luar gelanggang. 

“Saya selalu berkongsi dengan mereka, bukan hanya teknik, tetapi juga apa yang perlu dilakukan untuk berjaya, seperti bagaimana mereka mesti sentiasa sangat inginkan kejayaan dan berusaha lebih keras untuk mencapainya,” katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan